Air terjun Jeram Pasu kering

KEADAAN takungan di air terjun Jeram Pasu, Pasir Puteh yang kering ekoran cuaca panas sejak lebih sebulan lalu. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Oleh MEDIA MULIA

Air terjun Jeram Pasu kering
17 Mei 2024, 7:20 am

PASIR PUTEH: Kemarau yang sedang melanda negeri ini menyebabkan air di kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun Jeram Pasu di sini kering lebih sebulan lalu.

Tinjauan mendapati takungan air terjun kering sekali gus menyaksikan lokasi yang sebelum ini meriah dengan kehadiran orang ramai berubah menjadi sepi.

Seorang penduduk, Azwani Mat Yusoff, 34, berkata, dia mendapati kawasan air terjun itu semakin kering apabila hujan hanya turun dua kali dalam tempoh lebih seminggu lalu.

Menurutnya, kawasan perkelahan itu kebiasaannya dipenuhi dengan pengunjung lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

“Sebelum ini, ramai pengunjung datang untuk berkelah di Je­ram Pasu tidak kira sama ada hari biasa atau hari minggu.

“Sejak kemarau panjang, pe­ngunjung kurang datang ke sini. Jika datang pun, mereka tidak dapat mandi kerana takungan air terjun semakin cetek dan kering,” katanya.


Selain itu, Azwani berkata, premis jualan makanan di kawasan Jeram Pasu turut ditutup kerana ketiadaan pengunjung sejak akhir-akhir ini.

Seorang lagi pengunjung, Hasrie Ghani, 39, berkata, dia yang kerap berkunjung ke Jeram Pasu sebelum ini terkejut selepas mendapati air di kawasan itu kering.

“Sejak air kering, saya lihat tiada langsung pengunjung yang datang dan beberapa gerai di sini sudah ditutup.

“Meskipun berlaku kemarau pada tahun-tahun lalu, air di sini tidak pernah kering. Saya berharap musim kemarau segera berlalu agar takungan air di Jeram Pasu kembali seperti biasa,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Whip Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) Wan Hassan Wan Ibrahim mengakui situasi itu menjejaskan sektor pelancongan di kawasan tersebut.

Katanya, kemarau yang melanda ketika ini menyebabkan sumber air untuk kegunaan penduduk turut kering. – UTUSAN

Ulasan