Ancaman bunuh Teresa: DAP sia-siakan solidariti ditunjukkan Pas



Ancaman bunuh Teresa: DAP sia-siakan solidariti ditunjukkan Pas
HASSAN ABDUL KARIM
Oleh MEDIA MULIA
26 Mei 2024, 7:30 am

KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah parti politik berusia lebih 50 tahun, DAP sepatut lebih matang menerima pendapat daripada parti politik lawan terutama Pas yang menyatakan sokongan kepada Teresa Kok kerana menerima ancaman.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pemimpin PKR, Hassan Abdul Karim berkata, parti itu juga perlu lebih diplomasi sebelum menolak sebarang pandangan yang sepatutnya diambil bagi mewujudkan politik yang lebih sihat.

Menurut beliau, ini kerana pendirian DAP yang ditunjukkan kepada rakyat tidak mencerminkan kematangan DAP apabila menolak ‘mentah-mentah’ solidariti Pas merentasi politik untuk menyokong Teresa.

“Pas dan DAP masing-masing bergerak di atas landasan perlembagaan parti masing-masing yang diluluskan dan diterima oleh undang-undang Malaysia.

Tidak ada sebarang tindakan mahkamah atau keputusan mahkamah setakat ini yang mempersoalkan cita-cita perjuangan di dalam Perlembagaan Pas atau DAP didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal yang berlaku baru-baru ini pada hemat saya sangatlah wajar pemimpin DAP menghargai Pas yang menyatakan sokongan, simpati dan solidariti dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menerima ancaman bunuh. Pas dengan terbuka menyatakan secara tegas bahawa ia menentang politik keganasan.


“Tetapi amatlah malang apabila ada pemimpin DAP yang masih mempersoalkan niat baik pemimpin Pas dengan menyatakan secara terbuka bahawa pemimpin Pas masih terus memainkan peranan dalam menyemai kebencian terhadap DAP,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum ini, Teresa dilaporkan menerima kertas ugutan bunuh bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.
Berikutan itu, Pas bersolidariti dengan mengutuk keras insiden ugutan bunuh terhadap pemimpin DAP itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Teresa berhak mendapat semua perlindungan daripada apa-apa juga perbuatan jenayah bertentangan dengan undang-undang.

Mengulas lanjut, Hasan turut berkata, dalam hal ini, DAP telah mempersia-siakan usaha untuk membina keyakinan bagi me­rentasi politik sempit berasaskan kaum melalui kenyataan yang ‘kurang bijaksana’ dalam bahasa diplomasi politik.

“Sedihnya peluang yang baik itu untuk membuka lembaran baharu bagi membina politik yang lebih aman dan sejahtera telah ‘dicurah dengan air sejuk yang dingin’ apabila retorik dan naratif lama permusuhan diulang-ulang semula,” katanya. – UTUSAN

Ulasan