‘Itu sejarah yang saya tidak menyesal’
Oleh ASLINDA NASIR dan MOHAMAD ATHIR ISMAIL
26 Mei 2024, 9:13 am
MUKADIMAH
Bukan mudah untuk mendekati sosok pemimpin yang pernah ikut cukup rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 15 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri ke-10. Acap kali diatur pertemuan dengan Mingguan Malaysia, namun kerap tertangguh.
Bila berpeluang bertemu DATUK SERI MOHAMED AZMIN ALI, beliau akui enggan ditemuramah waima selepas dipecat daripada PKR pada Februari 2020 dan lebih-lebih lagi apabila berdepan pelbagai dakwaan termasuk sebagai pencatur dan pengkhianat.
Dalam tempoh itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu juga akui dugaan dihadapinya amat hebat dan nilai pengorbanannya pula cukup mahal sehingga merobek keakraban beliau dengan Anwar yang terbina sehingga menjadi peribadi.
Namun, bekas Ahli Parlimen Gombak itu bersetuju berdepan dengan media dan menjadikan akhbar ini sebagai yang pertama untuk beliau mendedahkan kisah dan siri pengkhianatan dalam sejarah negara membabitkan dirinya.
Ikuti perkongsian eksklusif bekas Timbalan Presiden PKR itu dekat rumah peninggalan keluarganya di Hulu Kelang, Selangor, bersama wartawan Mingguan Malaysia, ASLINDA NASIR dan MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurugambar M. FIRDAUS M. JOHARI serta juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL.
MINGGUAN: Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan keluarga Anwar sekarang?
Saya memang mengaku mempunyai hubungan begitu akrab dengan Anwar, bukan sahaja sebagai Timbalan Presiden PKR, tetapi sebagai keluarga ketika beliau berada di dalam penjara, saya menjaga kebajikan dan juga keperluan keluarga Anwar.
Saya masih ingat majlis perkahwinan Nurul Izzah Anwar saya mengaturkan dari awal sehinggalah penghujungnya. Seolah-olah macam anak saya sendiri yang berkahwin kerana ketika itu saya anggap beliau sebagai adik saya.
Tetapi mungkin kerana politik menyebabkan kami terpisah, sesuatu yang amat mengecewakan kerana sepatutnya politik menyatukan, bukan memecah belahkan dan saya juga antara pegawai yang paling lama berkhidmat dengan Datuk Seri Anwar selama 15 tahun. Betul, itu yang paling lama dan kemudian bila beliau berada dalam penjara, saya terus menjaga Anwar supaya beliau mendapat rawatan yang terbaik dan sebagainya.
Jadi, panjanglah sejarah saya dengan beliau, tetapi bagi saya sejarah yang begitu lama dengan beliau, banyak yang lebih baik daripada yang tidak baik tetapi yang difokuskan yang tidak baik. Itulah politik di negara ini yang sepatutnya lebih matang.
Jadi, masih berhubung dengan Anwar dan keluarganya?
Tidak.
DIBERI PELUANG TETAPI ANWAR KOYAK
Apa perbezaan Anwar dahulu dan sekarang?
Rakyat sudah melihat watak sebenar Anwar selepas diberikan peluang selama lebih setahun menjadi Perdana Menteri. Sebab itu, ramai tokoh agama memberitahu saya, pada peringkat awal beliau menjadi Perdana Menteri kita jangan terlalu marah ataupun kecewa kerana ada hikmahnya supaya Allah dedahkan siapa sebenarnya watak yang bernama Anwar yang mungkin sebelum itu orang lebih simpati.
Anwar juga dilihat sebagai seorang tokoh pakar kewangan dan ekonomi tetapi apabila diberikan peluang, dia koyak. Hari ini juga, rakyat semakin matang, sebab itu kita jangan meremehkan pandangan dan keluhan rakyat kerana mereka mahukan kerajaan yang terus ke hadapan, bukannya kerajaan yang memiliki sikap dendam, kesumat dan tidak jujur di dalam perkataan dan perbuatan.
Kenapa begitu tanggapan Datuk Seri terhadap Anwar, sedangkan dulu cukup rapat?
Saya pernah memberitahu Anwar apabila beliau keluar dari penjara, sebagai seorang yang lebih muda saya meminta beliau supaya menjadi a better person, not a bitter person maknanya sepatutnya pengalaman pahit di dalam penjara itu mengajar beliau untuk lebih jujur dalam perjuangan dan jangan dendam terhadap orang lain.
Apa reaksi Anwar ketika itu?
Mungkin beliau mendengar tetapi terpulang pada beliau untuk menerima pandangan saya atau sebaliknya.
Kemudian dalam satu lagi gerakan Datuk Seri dituduh mengatur Langkah Sheraton, kenapa? Apa sebenarnya berlaku?
Itu adalah satu keputusan strategik untuk memastikan kestabilan negara terjamin dan keyakinan pelabur-pelabur dapat dipulihkan supaya Malaysia terus maju dan makmur.
Langkah Sheraton merupakan peralihan sokongan ahli-ahli parlimen yang merasakan kerajaan ketika itu tidak stabil dan tidak tumpu kepada isu-isu rakyat, tetapi bergelut untuk merebut tampuk pemerintahan negara.
Kita ingat ketika itu hampir setiap minggu, setiap bulan ada sahaja individu yang membuat kenyataan terbuka ingin mengambil tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri sedangkan sudah ada persetujuan sebelum pilihan raya umum 2018 dan tidak ada sebarang persetujuan sama ada bertulis atau sebaliknya untuk memberikan kepimpinan negara dalam tempoh dua tahun.
Kita tak boleh membuat kenyataan saban minggu, saban hari bahawa ‘aku akan menjadi Perdana Menteri’. Itu menjejaskan perkembangan ekonomi negara dan keyakinan pelabur asing untuk melabur kerana ketidaktentuan berlaku pada ketika itu. Maka kita mengambil ketetapan oleh kerana ada individu yang mahukan kuasa.
Jadi, memang setuju ketika itu untuk menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-8?
Apa yang dipersetujui hanyalah untuk memberikan laluan kepada Anwar dan kita akan membuat penyelesaian untuk Anwar, tetapi tidak ada batasan masa yang ditetapkan.
Maka pendirian kita ketika itu, biarlah keputusan yang dibuat dan janji kita kepada rakyat untuk mengangkat Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri itu kekal sehingga beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan. Janganlah diganggu-gugat Dr. Mahathir sehingga beliau seolah-olah menjadi lame-duck Prime Minister.
Sekarang masih ada lagi sebarang gerakan selepas Langkah Dubai yang tak jadi?
Itu suatu strategi, kita tidak perlu hebohkan, tetapi yang penting rakyat sudah melihat sama ada kerajaan sekarang gagal atau tidak. Kalau kita tanya di bawah hampir kesemuanya bersetuju kerajaan hari ini gagal. Apabila kerajaan gagal, sudah tentulah ahli parlimen harus mendapat isyarat daripada pengundi-pengundi untuk melakukan sesuatu. Jadi, kalau mereka beralih sokongan jangan salahkan ahli parlimen sebab mereka mengambil cue daripada pengundi-pengundi mengapa kamu masih lagi berada dalam sebuah kerajaan yang gagal, dan kalau itu berlaku, itu bukan satu pengkhianatan, Anwar juga buat benda yang sama sebelum ini.
PN LABEL KERAJAAN PERPADUAN GAGAL
Kerajaan didakwa gagal, Anwar bukan tiada pengalaman dalam kerajaan, kenapa wujud dakwaan itu?
Apabila berlaku peralihan kuasa, mereka diberikan tempoh 100 hari untuk menetapkan hala tuju di mana hendak bawa negara dan rakyat, tetapi yang itu pun mereka tidak dapat tetapkan. Arahnya ke mana? Hala tuju ke mana? Dasar ke mana?
Jadi, bukan soal pelaksanaan yang dipertikaikan, dasar ekonomi, dasar luar negara bagaimana? Ia tidak dapat diyakinkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai satu ketetapan, satu hala tuju jelas dan apatah lagi pelaksanaan, sebagai contoh manifesto itu satu janji, satu ikatan di antara parti dengan rakyat tetapi semuanya koyak!
Hendak tunggu lima tahun lagi untuk tabur janji sekali lagi? Anwar bukan baru dalam politik Malaysia, dia pernah berada dalam kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri, dia tahu bagaimana proses untuk menggubal dasar dan pelaksanaan, tetapi yang dijanjikan hari ini ‘saya menjadi Perdana Menteri esok minyak turun’. Sudah dua tahun tak turun-turun. Jadi, apakah rakyat ingin diperbodohkan lagi dengan janji, dia akan bagi bermacam-macam alasan, mengapa tidak PTPTN dihapuskan?
Kalau begitu, sistem PADU, subsidi bersasar itu apa? Kalau berjaya oklah. Kalau gagal macam mana?
Kegagalan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli adalah kegagalan kerajaan keseluruhannya, ini bukan soal individu, ini bukan soal Rafizi. Seorang pemimpin seharusnya memberikan manfaat kepada rakyat, bukan membebankan dan menyusahkan rakyat.
LANGKAH KAJANG, PORT DICKSON, SHERATON DAN DUBAI
Datuk Seri pengkhianat?
Pengkhianat sebenarnya adalah mereka yang terlibat dalam Langkah Kajang, Langkah Port Dickson. Di saat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang masih berkhidmat, Lee Chin Cheh dipilih oleh rakyat dalam satu pilihan raya dan beliau menang dengan mendapat mandat rakyat, namun diarah meletakkan jawatan semata-mata untuk memberi laluan kepada seseorang yang rakus untuk berkuasa.
Begitu juga dengan Langkah Port Dickson, Ahli parlimen ketika itu masih berkhidmat. Beliau dipilih oleh rakyat Port Dickson dalam pilihan raya. Mengapa disuruh letak jawatan untuk memberi laluan kepada orang yang sama rakus untuk berkuasa? Itulah pengkhianat sebenarnya kerana mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat.
Langkah Kajang itu muslihat untuk memberi kuasa, apa yang Datuk Seri buat ketika itu?
Saya membantah, tetapi itulah yang menyebabkan saya dilihat tidak senada dengan Anwar. Cuma dalam hal ini, ia bukan soal individu, sebaliknya prinsip, mengapa seseorang yang dipilih oleh rakyat dan dinafikan haknya sebagai wakil rakyat.
Begitu juga rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat ketika itu termasuk Pas yang agak keberatan untuk mendukung keputusan tersebut, tetapi sekali lagi ianya diasak untuk melakukan demikian yang kita tahu asalnya adalah untuk Anwar bertanding di situ.
Mengapa terlalu hadap sangat untuk mendapatkan kedudukan itu semata-mata untuk menjadi Menteri Besar? Dan di atas kegagalan beliau yang kini menjadi Perdana Menteri, saya percaya rakyat nampak gelagat seseorang yang gelojoh untuk mendapat kuasa.
KEDUDUKAN DALAM BERSATU
Bagaimana perjalanan politik Datuk Seri kini dalam Bersatu berbanding PKR?
Saya masuk dalam Bersatu bukan sebab kedudukan ataupun mengejar jawatan, saya ingin menyumbang kepada pengukuhan parti Bersatu kerana ini sebuah parti yang baharu.
Kalau saya tumpu soal kuasa dan kedudukan saya akan kekal di dalam PKR kerana saya dipilih sebagai Timbalan Presiden. Saingannya cukup sengit namun ahli-ahli akar umbi PKR sedar bahawa saya antara pimpinan yang telah membangunkan dan PKR itu sejak 1999. Jadi, apapun saingan dan serangan yang datang..itu saya berterima kasih kepada akar umbi dan ahli-ahli PKR yang sentiasa mempertahankan dan mendukung perjuangan saya.
Bagaimana Datuk Seri mencatur kedudukan dalam PKR dulu?
Saya pernah ditentang oleh Zaid Ibrahim, saya pernah ditentang oleh Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dan kemudian saya ditentang oleh Rafizi Ramli yang mewakili Anwar kebetulan semuanya anak Ibrahim.
Tetapi, alhamdulillah ahli-ahli PKR ketika itu melihat perjuangan saya sepanjang penubuhan parti. Jadi, kalau saya memilih kuasa, pastinya saya kekal di situ sebab kedudukan saya kukuh, malahan dua per tiga daripada pimpinan PKR di peringkat pusat adalah daripada kumpulan saya. Jadi, sebab itu, saya tidak pernah meninggalkan PKR, sebaliknya dipecat daripada parti oleh Anwar.
Kemudian pilih Bersatu?
Tidak mengapalah, itu sejarah yang saya tidak menyesal, saya kira itu semua adalah ujian dalam perjuangan dan saya memilih untuk bersama Bersatu selepas mengadakan perbincangan dengan Dr. Mahathir, kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Datuk Seri sekarang dilabel ‘anak emas’ Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Dulu mereka kata anak emas Dr. Mahathir, kemudian anak emas Anwar. Jadi, baguslah saya rasa bersyukur kerana mana saya pergi pun, di mana pun saya dilempar, saya dapat memberikan terbaik dan kalau itulah pandangan umum. Maknanya saya bukanlah makhluk perosak.
Sampai ada kata Bersatu kini ada dua kem, Datuk Seri dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin?
Hendak tutup mulut musuh-musuh politik kita memang tidak boleh, kita hanya ada satu kem sahaja dalam Bersatu, nama pun sudah menggambarkan jati diri dan imej parti Bersatu.
Soal pandangan yang berbeza itu biasa dalam demokrasi, sebab ada yang datang daripada UMNO, PKR NGO, malah ada daripada kumpulan yang tidak pernah berpolitik. Jadi, bila ada perbincangan sudah tentu ada pelbagai pandangan.
Namun, kekuatan Bersatu ialah Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung memainkan peranan cukup penting untuk menyatukan pandangan-pandangan itu supaya wujud satu konsensus dalam membuat keputusan.
Namun dakwaan kem itu muncul lebih-lebih lagi bila Muhyiddin enggan jadi presiden lagi?
Muhyiddin sendiri mengumumkan secara terbuka dalam perhimpunan agung parti untuk tidak bertanding apabila sampai tempoh pertandingan pada hujung tahun ini.
Walaupun ada pihak yang cuba menyinggung bahawa itu permainan dan sebagainya. Ia bukan satu perkara remeh, dan saya lihat inilah kekuatan Muhyiddin yang tidak berlaku dalam parti-parti politik lain apabila ketua parti mula membincangkan persoalan pengganti kepemimpinan.
Namun, perwakilan merasakan belum masanya untuk beliau tidak meneruskan kepemimpinan kerana cabaran dan asakan yang dibuat oleh pemerintah sekarang terlalu zalim dan melampau. Maka kita mahu Muhyiddin terus menjadi nakhoda kita untuk terus maju ke hadapan, namun kita tetap bersedia untuk membincangkan soal plan kelanjutan pelan kepimpinan masa depan.
Jadi, Bersatu mengambil jalan selamat dalam pemilihan kali ini?
Satu perkara yang positif dalam Bersatu dan dalam mesyuarat Badan Pimpinan Negeri Selangor yang saya pengerusikan, perkara itu berbangkit supaya tidak ada pertembungan, sebab kalau ada pemilihan pastinya wujud perpecahan, itu harus kita elakkan.
Kita mahu demokrasi itu terus subur dan perbincangan untuk mencapai konsensus itu juga satu proses demokrasi dan dipersetujui bahawa presiden parti akan memanggil pimpinan, timbalan untuk melihat ruang dan peluang-peluang yang diberikan kepada semua kepimpinan untuk menyumbang kepada parti.
Jadi, bagaimana dengan Datuk Seri, sedia diberi amanah lebih berat dalam Bersatu?
Dalam perlembagaan Bersatu, terdapat klausa menyatakan sekiranya ada keperluan untuk mengecualikan syarat bertanding dan MPT ada kuasa dan tidak perlu mana-mana syarat untuk dipinda.
Contohnya, ada individu yang mempunyai kelayakan dan diterima baik rakyat, kita hendak ambil dia sebagai tokoh kepemimpinan parti, tetapi dia baru masuk parti, maka MPT ada kuasa mengecualikan syarat itu dan membenarkannya bertanding dan menjawat jawatan penting.
Jadi, sekiranya laluan diberi kepada saya, itu saya serahkan kepada parti. – MIngguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan