Kanada keluarkan visa kepada 5,000 warga Gaza





Kanada keluarkan visa kepada 5,000 warga Gaza
SEORANG budak lelaki Palestin melihat di tapak serangan Israel di kawasan yang ditetapkan untuk orang yang berpindah, di Rafah di selatan Gaza, semalam. -REUTERS
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
28 Mei 2024, 2:30 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


OTTAWA: Kanada akan mengeluarkan visa kepada 5,000 warga Gaza, lebih daripada yang dijanjikan pada asalnya dan berkata pihaknya ngeri dengan serangan udara Israel di Rafah yang mencetuskan kebakaran menyebabkan 45 kematian.

Menteri Imigresennya, Marc Miller berkata, visa untuk saudara-mara warga Kanada yang tinggal di kawasan terkepung itu mewakili peningkatan lima kali ganda daripada 1,000 visa pemastautin sementara yang diperuntukkan di bawah program khas yang diumumkan NEGARA itu pada Disember tahun lalu.

“Walaupun pergerakan keluar dari Gaza tidak dapat dilakukan pada masa ini, keadaan mungkin berubah pada bila-bila masa.

“Dengan peningkatan had ini, kami akan bersedia untuk membantu lebih ramai orang apabila keadaan berubah,” katanya.

Miller berkata, sebanyak 448 warga Gaza diberikan visa sementara termasuk 254 di bawah polisi yang tidak berkaitan dengan program visa khas, dan 41 tiba di Kanada setakat ini.

Serangan udara Israel lewat malam Ahad lalu mencetuskan kebakaran di kem khemah di bandar Rafah di selatan Gaza menyebabkan bantahan daripada pemimpin global termasuk dari Kanada.


Menteri Luar Kanada, Melanie Joly memberitahu, pihaknya berasa ngeri dengan serangan yang membunuh orang awam Palestin di Rafah.

Kata dalam satu kenyataan, Kanada tidak menyokong operasi ketenteraan Israel di Rafah.

“Tahap penderitaan manusia ini mesti berakhir. Kami menuntut gencatan senjata segera,” katanya.

Beliau mengulangi pendirian pemimpin global yang menggesa pelaksanaan perintah Mahkamah Dunia untuk menghentikan serangan Israel.


Kanada berulang kali menyokong gesaan untuk gencatan senjata di Gaza, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata sebelum ini bahawa serangan di Rafah tidak bertujuan untuk menyebabkan orang awam terkorban dan sesuatu telah berlaku secara tragis.

” Tentera Israel yang cuba menghapuskan Hamas di Gaza, berkata ia sedang menyiasat,” kata Netanyahu.

Hampir 36,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan tempatan dan dianggarkan 1.7 juta orang, lebih daripada 75 peratus penduduk Gaza, kehilangan tempat tinggal, menurut agensi bantuan PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA).

Israel melancarkan kempen ketenteraannya selepas kumpulan pimpinan Hamas menyerang komuniti Israel selatan pada 7 Oktober lalu, membunuh kira-kira 1,200 orang dan merampas lebih 250 tebusan, menurut pengiraan Israel. -REUTERS

Ulasan