Panggung wayang kembali ke Perlis?



Panggung wayang kembali ke Perlis?
SELEPAS lebih 20 tahun, kerajaan negeri tidak ada halangan membenarkan panggung wayang kembali dibuka di Perlis dengan mengikut garis panduan ditetapkan. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh MEDIA MULIA
23 Mei 2024, 7:11 am


KANGAR: Kerajaan negeri tidak ada halangan membenarkan panggung wayang kembali dibuka di negeri ini selepas le­bih 20 tahun Perlis tidak mempunyai kemudahan tersebut.

Kali terakhir orang ramai menonton wayang di Perlis iaitu di panggung Kapitol di sini ialah sekitar tahun 2001 dan selepas itu mereka terpaksa pergi ke negeri jiran jika ingin menonton filem-filem terbaharu.

Difahamkan panggung wa­yang akan kembali dibuka di negeri ini selepas sudah terdapat permohonan menyediakan kemudahan berkenaan di sebuah pusat beli belah yang bakal dibuka di Kangar Jaya di sini.

Bagaimanapun, bagi merea­lisasikan hasrat itu, ia perlu mengikut garis panduan ditetapkan yang antara lain dari aspek pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, beliau difahamkan sebuah pusat beli belah yang agak besar sedang dibangunkan di Kangar Jaya dan permohonan untuk membuka panggung wayang juga sudah ada yang masuk.

Beliau memahami dari aspek hiburan juga adalah satu bentuk kesenian yang merapatkan hubungan kekeluargaan.


“Di peringkat kita (kerajaan negeri), selagi mana mengikut garis panduan ditetapkan dan tidak menyalahinya kita tidak ada halangan menerima permohonan tersebut (buka panggung wayang).

“Antara garis panduan hiburan secara asasnya dikeluarkan Jabatan Mufti yang sekiranya tidak menyalahi, kita tidak ada halangan,” katanya.

Tambah Asrul Aimran, garis panduan lain khusus berkaitan panggung wayang boleh disediakan secara lebih terperinci selepas ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengunjungi majlis tempatan beberapa negeri untuk melihat pelaksanaan garis panduan berkaitan panggung wayang berkenaan.

“Kita cuba rencanakan sesuai dengan garis panduan dikeluarkan Jabatan Mufti dan secara asas kita jaga dari aspek pergaulan antara lelaki dan perempuan.

“Apabila dikawal perkara ini, mungkin tidak menjadi hala­ngan yang besar untuk panggung wayang dibenarkan dibuka di Perlis,” katanya. – UTUSAN

Ulasan