Polis nafi serangan terhadap Faisal, Akhyar berkait 'bookie'
06 Mei 2024 02:16pmMasa membaca: 4 minit
KUALA LUMPUR - Polis menafikan dakwaan kononnya kes serangan terhadap dua pemain bola sepak negara mempunyai kaitan dengan pengendali pertaruhan (bookie) yang mengatur keputusan perlawanan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang ramai digesa tidak mereka-reka cerita yang tidak benar sehingga siasatan dijalankan.
"Beri kami ruang dan masa untuk siasatan berhubung kes ini dilaksanakan," katanya ketika meninjau pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan motif sebenar mengenai kejadian yang menimpa bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim.
"Pada masa ini biar pihak polis menjalankan siasatan bagi mendapatkan motif sebenar mengenai kejadian ini," katanya.
Razarudin berkata, pihaknya juga masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian serangan terhadap Faisal mempunyai kaitan dengan serangan terhadap seorang lagi pemain bola sepak yang mewakili Terengganu FC, Akhyar Rashid yang turut diserang dan disamun di Kuala Terengganu, Khamis lalu.
"Kami (polis) berharap supaya mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap kejadian ini sehingga siasatan sedang dilengkapkan.
"Pada masa ini Polis Kontinjen Selangor sudah merakam keterangan dari tiga individu termasuk Faisal selain akan memanggil beberapa lagi saksi bebas yang dijangka dilakukan hari ini," katanya.
Artikel Berkaitan:MB Selangor gesa siasatan menyeluruh insiden babit Faisal Halim, Akhyar
Terdahulu, Faisal mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.
Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang Ahad.
Sementara itu, Khamis lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.
Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain tersebut mengalami kecederaan.
Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri.
Ulasan
Catat Ulasan