Subsidi bersasar beri impak jualan runcit Petronas Dagangan
Oleh AMIRUL AIMAN OSMAN
23 Mei 2024, 5:36 pm
PETALING JAYA: Pelaksanaan subsidi bersasar dijangka akan memberi impak kepada jualan runcit Petronas Dagangan, menurut laporan RHB Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, subsidi bersasar yang akan dilaksanakan untuk diesel bermula tahun ini dan berkemungkinan untuk petrol RON95 pada separuh kedua akan menimbulkan reaksi kepada jumlah dan kesan terhadap jualan runcit bahan api.
“Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) juga telah memberi amaran bahawa penarikan subsidi ini mungkin menjejaskan komisen peruncit petrol disebabkan oleh potensi peningkatan kadar diskaun peniaga (MDR) dan kos penyejatan yang berkaitan dengan harga purata jualan (ASP).
“Jumlah jualan runcit Petronas Dagangan meningkat sebanyak 13 peratus tahun ke tahun, menunjukkan penggunaan sektor swasta yang kuat namun, jumlah jualan komersial mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus tahun ke tahun,” katanya.
RHB Investment Bank berkata, syarikat itu dijangka terus mengekalkan prestasi runcit yang baik pada tahun ini disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh.
Katanya, meskipun terdapat cabaran, syarikat masih mengekalkan kadar pembayaran dividen yang stabil dengan mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 18 sen untuk suku pertama tahun ini berbanding 15 sen tahun sebelumnya.
“Ini mencerminkan komitmen syarikat untuk memberikan pulangan yang baik kepada para pemegang saham,” katanya.
Jelasnya, penilaian harga sasaran (TP) telah dikurangkan kepada RM20.82 daripada RM22.58 dengan mengambil kira risiko yang lebih tinggi berikutan pelaksanaan subsidi bersasar.
“Namun mereka masih menawarkan hasil dividen yang baik antara 3.9 peratus hingga 4.1 peratus untuk tempoh tahun kewangan 2024 hingga 2026.
“Pelaksanaan subsidi bersasar ini memerlukan perhatian khusus dari Petronas Dagangan dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan bahawa sebarang kesan negatif dapat diminimumkan dan keuntungan syarikat dapat dikekalkan dalam keadaan yang mencabar ini,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan