Antara Dr. Jo dan Abidin mana lebih berjiwa rakyat?­



Antara Dr. Jo dan Abidin mana lebih berjiwa rakyat?­
DR. JOOHARI Ariffin (kanan) bersama Abidin Ismail selepas kedua-duanya diumumkan sebagai calon yang akan bertanding pada PRK bagi kerusi DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
24 Jun 2024, 7:14 am


HARI penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kelmarin berlalu tenang tanpa provokasi kedua-dua penyokong sama ada Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).

Bermula malam kelmarin, kedua-dua pihak mula berkempen sehingga tengah malam sebelum hari pembuangan undi pada 6 Julai depan.

Baik PH atau PN, gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya ini sebenarnya telah bermula sejak nama kedua-dua calon diumumkan oleh kepimpinan parti ma­sing-masing minggu lepas.
Baik calon PH, Dr. Joohari Ariffin, 60, mahupun calon PN, Abidin Ismail, 56, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh menambat hati pengundi di Sungai Bakap.

Sebagai contoh, dengan latar belakang akademik serta pengalaman luasnya dalam bidang pendidikan, Joohari atau mesra dipanggil Dr. Jo dilihat berupaya menarik sokongan pengundi muda.

Pada masa sama, pengundi yang mahukan perubahan khususnya dari segi kemajuan di Sungai Bakap juga tidak akan teragak-agak untuk ‘memangkah’ bekas guru dan pensyarah itu sebagai wakil rakyat mereka.

Meskipun timbul perdebatan awal berikutan pada biodatanya tercatat bahawa Joohari bukanlah anak tempatan kerana dilahirkan di Permatang Pasir dan bukannya Sungai Bakap, namun, dakwaan itu pantas dinafikan oleh Joohari ketika ‘ucaptamanya’ selepas diumumkan sebagai calon PH oleh Kerajaan Perpaduan.


“Saya adalah anak jati Sungai Bakap kerana dibesarkan dan bersekolah di sini. Saya juga tinggal di sini (Taman Ilmu, Nibong Tebal) dan pernah mengajar di sini (dua buah berhampiran Sungai Bakap di Nibong Tebal,” kata bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Uta­ra itu lagi.

ADVERTISING


Meskipun tidak memiliki sebarang jawatan dalam partinya iaitu PKR, Joohari dikhabarkan selalu turun padang untuk mendengar sendiri denyut nadi khususnya di Sungai Bakap.
Itu secara tidak langsung menjadikan Joohari sebagai calon PH yang paling ‘menonjol’, ditambah pula dengan latar belakang agamanya kerana pernah menganggotai Angkatan Belia Islam (ABIM) sebelum ini.

Berbanding Joohari, Abidin, pula merupakan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal dan merupakan pembantu kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap sebelum ini.

Sebenarnya, ramai yang gagal meneka dengan tepat bahawa Pas dan PN akan mempertaruhkan bekas eksekutif logistik itu sebagai calon memandangkan Pas dikatakan mengambil masa untuk menyaring calon terbaik bagi berdepan dengan Joohari.

Usia Abidin tidak jauh bezanya berbanding Joohari walaupun Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika majlis pengisytiharan calon sebelum ini memberitahu bahawa PN akan meletakkan calon ‘muda’.

Isu kelayakan akademik Abidin juga menjadi perdebatan pada mulanya apabila dia diberitakan memiliki sijil Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian atau ISO sedangkan sijil tersebut diberikan kepada organisasi atau syarikat sahaja dan bukannya individu.

Bagaimanapun, seusai sesi ceramah di Simpang Ampat semalam, bapa kepada dua orang anak itu tampil menjelaskan isu sebenar dan mendakwa, terdapat kekeliruan ketika perkara itu diumumkan pada majlis pengisytiharan calon PN.

Beberapa isu kecil itu dilihat tidak memberi kesan yang besar terhadap kedua-dua calon memandangkan mereka berdua mempunyai pengaruh tersendiri.

Dalam hal ini, untuk menjadi calon yang ‘paling’ berjiwa rakyat, baik Joohari atau Abidin, mereka tidak seharusnya mengamalkan sikap ‘pilih bulu’ andai diberi mandat untuk menjadi ADUN Sungai Bakap yang baharu nanti. – UTUSAN

Ulasan