BlackRock: Syahir sifatkan Nik Nazmi terkhilaf, keliru



BlackRock: Syahir sifatkan Nik Nazmi terkhilaf, keliru
June 24, 2024


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menegaskan bahawa bantahan Perikatan Nasional (PN) terhadap penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) adalah kerana ia melibatkan kedaulatan negara.


Sehubungan itu beliau menyifatkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai terkhilaf dan keliru berikutan mencabar PN menutup kilang berkaitan BlackRock yang terdapat di Kedah dan Kelantan.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu sebagai menjawab Naib Presiden PKR tersebut menyatakan, bantahan dibangkitkan PN kerana pemilikan 39 lapangan terbang negara akan berada di bawah pengurusan bersama BlackRock.


Sedangkan katanya, semua lapangan terbang tersebut yang kini dikendalikan MAHB secara profesionalisme diakui bertaraf dunia itu adalah merupakan aset strategik negara yang dimiliki oleh kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).


“Tiada sinergi, tiada alasan strategik dari segi komersil, operasi, kepakaran, pendanaan, dan kedaulatan ekonomi; kepada MAHB mahupun negara,” ujarnya mengingatkan bahawa ia di bawah kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.


Syahir turut menyatakan saham yang berada di bawah kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu ditawarkan sebanyak 30 peratus, berbeza saham dirujuk Nik Nazmi melibatkan pembelian secara pasaran terbuka.


Bersandar bantahan turut disuarakan gerakan global boikot Israel, BDS Malaysia bersama 22 NGO masyarakat sivil, Syahir menyangkal tuduhan Nik Nazmi bahawa bantahan itu bersifat tunggangan politik.


“Permintaan kami, hentikan penjualan 30 peratus MAHB; biarkan kekal dimiliki ekuiti tempatan, dibiayai dana tempatan, diurus anak tempatan, diwarisi anak watan,” ujar beliau memberi mesej secerah matahari kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu.


Beliau yang kini berada dalam Sidang Dewan Rakyat di Parlimen itu turut berkongsi kekesalannya mengenai usul berkaitan yang dikemukakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah ditolak Speaker.


“Namun suara bantahan di luar semakin kuat,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS supaya kerajaan mendengar dan memahami desakan itu serta belum terlewat untuk selamatkan Malaysia. – HARAKAHDAILY 24/6/2024

Ulasan