Dana bukan alasan beri khidmat – Abang Abidin



Dana bukan alasan beri khidmat – Abang Abidin
June 23, 2024

NIBONG TEBAL: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.20 DUN Sungai Bakap, Abidin Ismail tidak melihat kekangan dana sebagai alasan untuk berusaha memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut beliau, pengalaman seperti itu sudahpun dilalui beliau bersama ADUN Sungai Bakap, Almarhum Nor Zamri Latiff atau Abang Zam sebelum ini yang dinafikan pemberian peruntukan.

“Kita memang ada sedikit kekangan, tetapi itu bukan isu untuk bantu rakyat. Alhamdulillah, kita ada banyak sumber yang membantu dengan memberi sumbangan dan penyediaan keperluan.

“Maka, jika ada bekalan yang terputus atau apa-apa insyaAllah kita akan selesaikan sedikit demi sedikit,” katanya ketika di temui Harakahdaily, di sini hari ini.

Beliau yang dikenali dengan panggilan mesra ‘Abang Abidin’ turut menjelaskan bahawa terdapat agensi dan pihak berwajib untuk kerjasama menangani aduan dan hal-hal berkaitan kebajikan.

“Rakyat tidak perlu bimbang. Ada yang boleh adukan kepada pihak agensi. Kita akan terus berusaha untuk menyelesaikan setiap isu yang timbul,” ujarnya terhadap peranan memudahcara itu.

Abidin selaku juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal turut mengingatkan bahawa walaupun terdapat cabaran, usaha untuk membantu rakyat akan diteruskan dengan komitmen tinggi.

Dengan jaminan ini, Abidin berharap agar rakyat tidak merasa bimbang dan yakin bahawa setiap aduan dan keperluan mereka akan diambil serius serta ditangani dengan segera.

Beliau terdahulu memulakan hari pertama sebagai calon dengan solat Subuh di Surau Taman Seruling, diikuti kempennya dilakukan dengan menyantuni para peniaga dan pengunjung di Pasar Basah Sungai Bakap, di sini.

Dalam menerima sambutan terbuka sangat positif ditunjukkan orang ramai yang mengenalinya, beliau turut dilihat meluangkan kesempatan mendengar luahan dan perkongsian masalah oleh penduduk.

Suasana harmoni peniaga dan pengunjung baik kaum Melayu, Cina dan India ternyata tidak kekok didekati mahupun mendekati Abang Abidin bersama pasukan kempennya saat mereka menjual dan membeli barang keperluan harian.

Beliau juga ternyata cukup bernostalgia dengan Abang Zam yang berkali-kali ketika ditemui orang ramai menjanjikan untuk meneruskan legasi perjuangan dan khidmat Almarhum terhadap masyarakat setempat.

“InsyaAllah, jika diberi mandat, kami akan cuba memberikan khidmat terbaik kepada penduduk,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

Ulasan