Dasar PMX terhadap Palestin ‘flip-flop’


Dasar PMX terhadap Palestin ‘flip-flop’
June 21, 2024

Saifuddin (kanan) dalam forum umum, Tolak BlackRock: Jangan Jual Airport Negara Kepada Zionis di Kuala Lumpur pada lewat malam tadi, 20 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikml Emir)

KUALA LUMPUR: Dasar luar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) terhadap Palestin dianggap ‘flip-flop’ dan sering bertukar-tukar, walaupun beliau sebelum ini bertegas menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan Zionis Israel terhadap Palestin.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Luar mengenai isu berkenaan seolah-olah mengiktiraf kewujudan dan peranan negara Israel.

“Timbalan Menteri Luar Negeri pada Mac lalu mengungkapkan ayat-ayat yang tak pernah mana-mana Menteri atau Timbalan Menteri Luar Negeri akan berani atau sampai hati untuk ungkapkan.

“Dia tak katalah nak mengiktiraf Palestin, tapi apa ayat dia? Kita hanya akan mengiktiraf Israel sekiranya Israel ini…mungkin kita akan dapat mengiktiraf serba sedikit tentang peranan Israel di bumi ini.

“Saya suruh dia tarik balik, dia tak nak tarik balik. Ini kenyataan rasmi dalam Dewan Rakyat oleh wakil Kementerian Luar. Saya tak fikir pegawai-pegawai Kementerian Luar boleh mengizinkan perkara yang sedemikian,” katanya dalam forum umum, Tolak BlackRock Jangan Jual Airport Negara Kepada Zionis, di sini, lewat malam tadi.

Turut hadir ialah mantan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Siti Rahayu Baharin (Cikgu Rahayu); Pengerusi Pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Prof Mohd Nazari Ismail; dan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Menurut Saifuddin yang juga merupakan mantan Menteri Luar Negeri, jika Malaysia tidak boleh lagi untuk lebih membantu rakyat di Palestin, justeru kerajaan diminta agar tidak mengguris hati mereka dengan melakukan dasar-dasar sebegini.

“Dasar luar Malaysia sejak dulu lagi konsisten mendokong perjuangan rakyat Palestin. Perdana Menteri sebelum-sebelum ini tidak perlu pun mendabik dada untuk menjadi ‘terpaling’ baik dan ‘terpaling’ pejuang, tetapi hasilnya menakjubkan.

“Tak perlulah jadi terpaling baik, takut nanti jadi terpaling buruk,” katanya.

Ulasan