Israel cabul undang-undang perang



Israel cabul undang-undang perang
KEMUSNAHAN teruk di kem pelarian Gaza selepas Israel menjatuhkan bom seberat 907 kg.- AGENSI
Oleh Wartawan Luar Negara
21 Jun 2024, 7:30 am

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan Israel berulang kali melanggar prinsip asas undang-undang perang kerana penggunaan bom berat di wilayah Gaza yang padat penduduk.

Menerusi laporan terkini pada Rabu, badan dunia itu menekankan enam serangan Israel yang mengorbankan sekurang-kurang 218 penduduk Palestin di Gaza.

Laporan itu dikritik dan dianggap sebagai berat sebelah oleh Israel, namun pejabat PBB memberikan butiran lanjut mengenai enam serangan yang dikatakan sebagai satu bentuk corak membimbangkan.

Penggunaan bom seberat sehingga 907 kilogram (kg) disyaki digunakan ke atas bangunan kediaman, sekolah, kem pelarian dan pasar di Gaza.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB bagi rantau Asia Tenggara (OHCHR) mengesahkan 218 kematian dalam serangan yang dilakukan pada awal perang, tetapi maklumat menunjukkan angka korban ‘mungkin lebih tinggi’.

“Keperluan untuk memilih cara dan kaedah peperangan yang mengelak atau sekurang-kurangnya meminimumkan bahaya kepada orang awam nampaknya dicabuli secara konsisten dalam kempen pengeboman Israel,” kata Ketua Hak Asasi PBB, Volker Turk dalam kenyataan.

RUNTUHKAN STRUKTUR TINGGI

Laporan itu merumuskan siri serangan yang dilakukan antara 9 Oktober hingga 2 Disember lalu, menunjukkan tentera Israel berulang kali melanggar prinsip asas undang-undang perang.

Antara serangan yang disenaraikan dalam laporan itu termasuk insiden di kejiranan Ash Shujaiyeh di bandar Gaza, 2 Disember, tahun lalu.

Ia menyebabkan kemusnahan sehingga 130 meter, melibatkan 15 bangunan dan merosakkan sekurang-kurangnya 14 infrastruktur berhampiran.

Tahap kerosakan dan kawah kesan letupan yang boleh dilihat pada imej satelit menunjukkan kira-kira sembilan bom GBU-31 seberat 907 kg digunakan, dipercayai menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh.

Menurut Jurucakap Pejabat Hak Asasi PBB, Jeremy Laurence, bom jenis GBU-31, GBU-32 seberat 454 dan GBU-39 (250 paun) kebanyakannya digunakan untuk menembusi bangunan konkrit bertingkat dan boleh meruntuhkan struktur tinggi sepenuhnya.

“Bayangkan betapa dahsyatnya kawasan yang menjadi sasaran, penggunaan senjata letupan dengan kesan yang begitu meluas adalah sama seperti serangan sewenang-wenangnya yang dilarang oleh kami,” katanya.

JENAYAH KEMANUSIAAN

Ketua Pejabat OHCHR di wilayah Palestin, Ajith Sunghay berkata, laporan itu lebih tertumpu kepada tindakan Israel memandangkan senjata yang digunakan pasukannya membawa kerosakan lebih teruk.

Walaupun peluru berpandu yang digunakan Hamas juga tidak boleh diterima, Sunghay berkata, senjata itu tidak menyebabkan kemusnahan dan kematian yang ketara semasa perang.

Insiden yang diperincikan dalam laporan itu tidak termasuk serangan di pekarangan Hospital Al-Ahli Gaza pada awal perang, yang diberitahu Hamas seramai beratus-ratus orang terbunuh.

Menurut Sughay, insiden itu tidak dapat disenaraikan dalam laporan kerana pasukannya tiada maklumat mencukupi.

Katanya, tindakan Israel bukan sahaja melanggar undang-undang perang, bahkan serangan meluas atau sistematik terhadap orang awam juga melibatkan jenayah terhadap kemanusiaan, selaras dasar negara atau organisasi rasmi.

Israel mengkritik laporan itu dan menganggap ia bertujuan untuk menyerang serta menyisihkan Tel Aviv, selain mahu melindungi Hamas di Gaza.- AGENSI

Ulasan