Jangan mudah tunduk kepada kuasa besar global



Jangan mudah tunduk kepada kuasa besar global
June 21, 2024

Siti Rahayu (tengah) dalam forum umum, Tolak BlackRock: Jangan Jual Airport Negara Kepada Zionis, di Kuala Lumpur pada lewat malam tadi, 20 Jun 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

KUALA LUMPUR: “Jangan disebabkan kepentingan ekonomi semata-mata menyebabkan kerajaan sanggup menggadaikan aset negara ini kepada syarikat pro-Zionis seperti BlackRock.”

Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Siti Rahayu Baharin (atau Cikgu Rahayu) berkata, tindakan sebegitu seolah-olah menunjukkan bahawa kerajaan mudah tunduk kepada tekanan ekonomi daripada kuasa besar Amerika Syarikat itu sendiri.

“Bayangkan jika sesebuah negara mudah tunduk kepada tekanan ekonomi kuasa tersebut maka ekonomi negara kita akan berpaksikan kepada sistem kapitalis sepenuhnya, katanya ketika berucap dalam forum umum, Tolak BlackRock Jangan Jual Airport Negara Kepada Zionis, di sini, lewat malam tadi.

Turut hadir ialah mantan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Pengerusi Pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Prof Mohd Nazari Ismail; mantan Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah dan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Menurut Siti Rahayu, sudah banyak mahasiswa dan mahasiswi di beberapa universiti luar negara yang telah bangkit dan memprotes segala kezaliman negara haram Israel.

Tambah beliau, walaupun majoriti dalam kalangan mereka adalah bukan beragama Islam tetapi sanggup bersolidariti bersama-sama dengan rakyat Palestin tanpa ada rasa gentar.

“Mereka telah bangkit demi mempertahankan rakyat Palestin tanpa ada rasa gentar sama ada biasiswa mereka ditarik dan seumpamanya.


“Namun, di manakah orang-orang muda negara kita yang seharusnya bersuara mengenai isu rakyat Palestin ini?

“Saya tidak menafikan ada sebahagian mahasiswa dan mahasiswi negara kita ada mengadakan protes secara kecil-kecilan mengenai isu Palestin.

“Saya diberitahu oleh seorang pelajar warga Palestin bahawa program solidariti bersama-sama rakyat Palestin tidak mendapat sambutan.

“Ini sememangnya benar kerana jika program sebegini mendapat sambutan maka sudah tentu sudah ada banyak media melaporkan mengenai perkara tersebut secara meluas dalam negara ini,” jelasnya.

Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan pada bulan lepas, Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Siti Rahayu turut menggesa pihak kerajaan supaya tidak meneruskan penjualan sebahagian saham MAHB kepada GIP yang dimiliki oleh syarikat tersebut yang jelas bersifat pro-Zionis.

Ini kerana kata beliau, tidak wajar untuk menggadaikan sesebuah aset negara bagi tujuan pembinaan ekonomi negara semata-mata.

“Jad,i saya mewakili anak-anak muda dalam negara ini supaya buat perkara yang betul dan tidak lebih daripada itu pun.

“Jangan gadaikan negara ini hanya demi kepentingan ekonomi semata-mata kerana banyak lagi cara untuk membangunkan lagi ekonomi negara sambil bersolidariti bersama-sama rakyat Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/6/2024

Ulasan