Kondo hampir siap terpaksa roboh, halang Gunung Fuji



Kondo hampir siap terpaksa roboh, halang Gunung Fuji

PENDUDUK tempatan mendakwa projek kondominium 10 tingkat ganggu pemandangan Gunung Fuji.- AGENSI
Oleh Wartawan Luar Negara
13 Jun 2024, 11:00 am

OSAKA: Sebuah firma pembangunan Jepun mengumumkan akan merobohkan bangunan kondominium yang hampir siap selepas penduduk tempatan mengadu projek tersebut menghalang pemandangan Gunung Fuji.

Pemaju yang berpangkalan di Osaka Sekisui House berkata, bangunan setinggi 10 tingkat dan 18 unit di Kunitachi, Tokyo, akan dirobohkan hanya beberapa minggu sebelum penduduk pertama sepatutnya berpindah.

Sebelum ini, pemaju membuat konsesi termasuk mengurangkan pelan daripada 11 kepada 10 tingkat dan mengurangkan ketinggian setiap tingkat selepas penduduk tempatan mengadu pembinaan itu akan menghalang pemandangan gunung tertinggi di negara itu.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, keputusan untuk merobohkan bangunan yang dikenali sebagai ‘Grand Maison Kunitachi Fujima Dori’, dibuat kerana mempertimbangkan kesan ke atas pemandangan, lapor Kyodo News.

“Kami menyedari budaya yang mementingkan pemandangan, tetapi kita gagal mempertimbangkan sebaiknya. Kami juga memohon maaf kepada pihak yang sudah menandatangani kontrak,” katanya.

Pemaju berkata, bakal pemilik kondominium yang membeli unit di bangunan itu dengan harga kira-kira AS$446,000 (RM2.1 juta) akan diberikan pampasan kewangan.

Ulasan