Kos caruman tinggi beri kesan kepda harga hartanah


Kos caruman tinggi beri kesan kepda harga hartanah
Oleh HENDRA WINARNO
24 Jun 2024, 7:23 am


SEKTOR hartanah berhadapan dengan cabaran apabila kos caruman kepada kerajaan meningkat memberi impak langsung kepada kos operasi syarikat-syarikat pemaju hartanah, harga pasaran dan akhirnya kepada pengguna.

Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, kos caruman kepada pihak kerajaan bagi pembangunan hartanah boleh merangkumi pelbagai jenis bayaran, bergantung kepada undang-undang tempatan dan persekutuan yang berkenaan.

“Antaranya, kos yang terlibat adalah kos tukar syarat tanah, kos kelulusan kebenaran merancang dan kos kelulusan pelan bangunan.

“Selain itu, kos pecah sempadan tanah, kos caruman perparitan dan kos caruman pihak berkuasa air, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) juga perlu ditanggung oleh pe­maju hartanah.

“Kos ini biasanya perlu dibayar oleh pemaju hartanah sebagai sebahagian daripada proses mendapatkan kebenaran dan kelulusan untuk projek pembangunan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ishak berkata, kos-kos itu memaksa syarikat pemaju menanggung perbelanjaan tambahan yang boleh mengurangkan margin keuntungan mereka.


“Akibatnya, banyak syarikat pemaju perlu menilai semula strategi kewangan dan operasi mereka untuk menampung peningkatan kos ini, sekali gus memberikan impak jangka panjang.

ADVERTISING


“Secara tidak langsung, kenaikan kos pembangunan akan dipindahkan kepada pengguna dan akhirnya harga rumah akan meningkat,” katanya.

Jelas beliau, cukai-cukai itu disifatkan sebagai kos yang boleh dikawal oleh kerajaan dan perlu dilihat semula sebagai satu pakej untuk membantu pihak pemaju.

“Jika kerajaan bercadang untuk menurunkan harga rumah, satu komponen kos penting yang perlu disemak adalah kadar caj yang dikenakan.

“Semakan ini perlu memastikan kadar yang dikenakan adalah bersesuaian dan munasabah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, kerajaan boleh mengambil beberapa langkah spesifik untuk mengurangkan kos caruman kepada pihak kerajaan dalam pembangunan hartanah.

“Saya berpandangan kerajaan boleh meringankan beban cukai seperti memberikan pengecualian cukai atau pengecualian cukai yang lebih mudah kepada pemaju hartanah untuk mengurangkan kos keseluruhan.

“Proses kelulusan juga mesti dimudahkan seperti mempercepat proses kelulusan bagi projek pembangunan. Ini membolehkan pemaju untuk mengurangkan kos tambahan yang berkaitan dengan kelewatan.

“Dalam pada itu, kerajaan boleh menawarkan insentif dan bantuan kewangan dengan menyediakan insentif kewangan atau bantuan untuk pembangunan hartanah yang mempunyai impak positif kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, kerajaan juga boleh menyemak semula undang-undang tempatan yang berkaitan dengan kos caruman untuk memastikan ia adil dan berkesan bagi semua pihak yang terlibat serta meningkatkan kerjasama antara agensi kerajaan.

“Kerajaan dapat memperbaiki koordinasi antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam proses kelulusan dan pengurusan kos caruman untuk memastikan keseluruhan sistem berfungsi dengan baik.

“Antara negara lain yang berjaya mengawal kos caruman dan cukai bagi memudahkan pembangunan hartanah ialah Dubai dan Singapura.

“Kedua-dua negara ini telah menggunakan sistem bersepadu yang memendekkan tempoh kelulusan kera­na masa merupakan kos, manakala Dubai turut mempunyai pendaftaran hak milik menggunakan teknologi blok rantai yang cekap dan tepat,” katanya.

Ishak berkata, selain kos cukai, peningkatan kos bahan binaan, kos upah dan buruh, kos kewangan dan kos-kos lain turut memainkan peranan besar dalam menentukan harga akhir rumah.

“Kerajaan perlu berhati-hati agar tidak menghantar mesej yang salah melalui peningkatan kos caruman pembangunan yang akhirnya kos-kos ini akan dipindahkan kepada pengguna.

“Isu penyasaran subsidi yang mana sektor pembinaan dan pembangunan hartanah tidak terlibat dan tidak layak memohon subsidi bersasar juga memaksa pemaju untuk meningkatkan harga di pasaran.

“Ini disebabkan kenaikan kos bahan melalui jentera yang digunakan dan caj pengangkutan yang membawa bahan-bahan binaan juga menyumbang kepada peningkatan kos yang besar,” katanya. – UTUSAN

Ulasan