Makin ramai makan telur, mi segera


Makin ramai makan telur, mi segera
PENIAGA telur menyusun bekalan telur yang akan dihantar kepada pelanggan. - GAMBAR HIASAN
Oleh NURUL IRDINA SUMALI
24 Jun 2024, 7:50 am

PETALING JAYA: Kira-kira tujuh daripada 10 atau bersamaan 71 peratus isi rumah keluarga berpendapatan rendah di ibu negara, dilaporkan makan telur sebagai sumber protein utama berban­ding 52 peratus semasa pandemik Covid-19 pada 2020.

Pengambilan makan kurang sihat dalam kelompok berke­naan turut meningkat dengan 46 peratus responden menyatakan mereka lebih banyak makan mi segera berbanding 40 peratus semasa pandemik.

Perubahan pola pemakanan itu mencerminkan langkah-langkah penyesuaian diambil oleh isi rumah di Kuala Lumpur untuk mengharungi cabaran kenaikan kos sara hidup.

Dapatan itu daripada kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang diterbitkan pada Mei lalu.

Kajian ini bertumpu pada tinjauan yang dibuat selepas pandemik, dijalankan dari 14 Oktober hingga 16 November 2023.

Tinjauan itu mengumpulkan data daripada 755 isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.


Sampel kajian terdiri daripada 501 isi rumah dengan hamper 30 peratus daripada­nya adalah responden yang pernah ditemu bual untuk projek keluarga miskin bandar (FOE). Selain itu, terdapat sampel tambahan 254 isi rumah, ter­utamanya isi rumah yang diketuai oleh wanita.

Menurut Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh, untuk mengatasi masalah itu daripada terus berlarutan, kerajaan perlu menggiatkan lagi sektor pertanian negara.

“Kurang penanaman menjadikan harga benih lebih mahal, cukai tanah dan pengeluaran kos makanan menjadi tinggi.

“Jadi, perkara ini perlu diatasi supaya akses kepada makanan berkhasiat dapat sampai kepada golongan memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kajian UNICEF itu juga mendapati, kira-kira satu daripada tiga isi rumah kurang berkemampuan terpaksa mengurangkan pengambilan makanan.

Antara langkah keluar yang diambil mereka ialah melakukan kerja tambahan, mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menagih bantuan kewangan daripada keluarga dan kawan-kawan serta menjual barangan peribadi seperti tele­fon mudah alih.

Kajian itu mendapati, satu daripada empat ketua isi rumah terutama yang diketuai wanita mengatakan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menyediakan makanan berkhasiat.

Angka itu lebih tinggi dalam kalangan isi rumah diketuai orang kurang upaya (OKU) dengan hampir satu daripada tiga menyatakan pendapatan mereka hampir tidak memadai untuk menyediakan makanan berkhasiat secukupnya.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak menerima kesan paling ketara daripada kenaikan kos sara hidup di mana kebanyakan daripada mereka tidak me­nerima makanan berkhasiat dan mencukupi.

Lebih 52 peratus kanak-kanak makan kurang daripada tiga kali sehari, bertambah berbanding 45 peratus yang dilaporkan sebelum pandemik, menurut kajian itu.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Aktivis Kesihatan Awam), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan juga boleh mempergiatkan insentif kupon khas pemakanan khasiat kepada golongan ren­tan bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Kerajaan boleh berikan kupon khas terutama kepada pelajar dan golongan B40 supaya mereka boleh mendapatkan makanan berkhasiat pada harga yang lebih murah,” jelasnya. – UTUSAN

Ulasan