Pemberian subsidi: Amalan ‘tercela’ ekonomi liberalisme


Pemberian subsidi: Amalan ‘tercela’ ekonomi liberalisme
June 13, 2024

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi adalah satu amalan yang ‘tercela’ dalam ekonomi liberalisme, kerana liberalisme mementingkan sikap lepas tangan kerajaan ‘laissez faire’ terutama dalam kegiatan ekonomi sesebuah negara.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, penyaluran subsidi adalah merupakan satu bentuk campur tangan kerajaan yang dianggap boleh mengherotkan kuasa penawaran dan permintaan, malah mewujudkan persaingan yang tidak seimbang dalam kalangan pemain-pemain ekonomi.

“Oleh sebab itu, pemberian subsidi adalah suatu keputusan kerajaan yang sangat tidak dialu-alukan oleh golongan kapitalis. Demikianlah pegangan asas falsafah ekonomi liberalisme seperti yang dipelopori oleh Adam Smith.

“Sebuah ekonomi liberalisme menekankan sebuah pasaran bebas dan persaingan bebas, tanpa ada campur tangan oleh kerajaan yang mengganggu kebebasan tersebut. Liberalisme Klasik ini telah mewujudkan pelbagai ‘gejala tidak sihat’ di dalam sesebuah masyarakat dan negara.

“Langkah-langkah pembaikan telah dilakukan oleh negara-negara yang mendukung ekonomi liberalisme, antaranya dengan memperkenalkan konsep negara kebajikan ‘welfare state’ bertujuan merawat gejala tidak sihat yang timbul disebabkan dasar dan amalan ekonomi liberalisme,” katanya dalam satu kenyataan.

Kemunculan konsep negara kebajikan inilah menurutnya, antara yang membuka ruang diperkenalkan penyaluran subsidi oleh kerajaan kepada golongan penerima yang telah ditentukan.

Bagaimanapun jelasnya, pemain-pemain ekonomi dalam kalangan golongan kapitalis tidak selesa dengan perkara ini, justeru tekanan berterusan dilakukan oleh mereka terhadap kerajaan agar menghentikan atau memotong subsidi.

Janji ‘new deal’

“Hari ini, kecenderungan untuk kembali kepada liberalisme klasik begitu kuat ditambah lagi dengan tekanan yang diakukan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan ia dikenali sebagai neo-liberalisme.

“Di Amerika Syarikat, konsep negara kebajikan muncul semasa era pemerintahan Presiden Franklin Delano Roosevelt. Kerajaan Amerika Syarikat sehingga tahun 1933 tidak menyediakan bantuan langsung kepada individu.

“Ketika kempen pilihan raya, Roosevelt telah menawarkan satu janji yang digelar sebagai ‘new deal’ bersama warga Amerika Syarikat, mewujudkan Federal Emergency Relief Administration (FERA).

“Kemudian, di bawah pentadbiran Roosevelt digubal Akta Keselamatan Sosial ‘Social Security Act’ yang merangkumi lima program utama, sebahagian besarnya berkaitan dengan subsidi.

“Di United Kingdom (Britain), gagasan idea tentang kebajikan ini mula wujud apabila Parti Buruh ditubuhkan. Bagaimanapun, dasar-dasar berkaitan negara kebajikan secara lebih tuntas muncul selepas Perang Dunia Kedua iaitu sekitar akhir dekad 1940-an dan pada dekad 1950-an.

“Program-program berkaitan negara kebajikan telah mula diperkenalkan dan antaranya merangkumi pemberian pelbagai subsidi kepada Masyarakat awam.

“Bagaimanapun, pasca Brexit pada tahun 2022, United Kingdom telah menggubal Akta Kawalan Subsidi ‘Subsidy Control Act’ yang secara tidak langsung bertujuan untuk menguncupkan keluasan pemberian subsidi di negara tersebut,” terangnya.

Boleh dikatakan katanya, kebanyakan negara-negara yang berideologikan liberalisme melalui episod perkembangan seperti ini dan bermula dengan dasar dan amalan ekonomi yang meminimakan campur tangan kerajaan, kemudian berkembang secara berlawanan dengan memperkenalkan program-program kebajikan serta akhir sekali kembali semula kepada asal dengan mengurangkan atau memotong peruntukan-peruntukan berkaitan dengan kebajikan.

Titik kembali neo-liberalisme

Beliau menjelaskan bahawa, di Amerika Syarikat dan United Kingdom, era pemerintahan Ronald Reagan dan Margaret Thatcher selalu dilihat sebagai titik mula kembali kepada liberalisme klasik atau neo-liberalisme, yang menilai semula program-program kebajikan termasuklah subsidi.

Katanya lagi, tidak dapat dinafikan, selain daripada desakan dalaman yang datang daripada para kapitalis, negara-negara liberalisme turut terkesan supaya merubah dasar dan amalan mereka berkaitan dengan kebajikan dan subsidi, disebabkan desakan antarabangsa.

“Kesatuan-kesatuan yang mereka sertai seperti World Trade Organisation (WTO), Group of 20 (G20) dan lain-lain, memainkan peranan menekan negara-negara anggota untuk melaksanakan pengurangan program-program kebajikan dan pemotongan subsidi melalui resolusi-resolusi persidangan yang dianjurkan secara berkala.

“Salah satu contoh yang boleh diperhatikan ialah pemansuhan subsidi tenaga atau subsidi bahan bakar. Kempen untuk memansuhkan subsidi tenaga sebenarnya telah bermula sejak dekad 1980-an lagi.

“Pada ketika itu desakan ini datang dari NGOs antarabangsa yang berkaitan dengan alam sekitar. Pada ketika sama, konteks global yang berkaitan kebangkitan neo-liberalisme yang menekankan liberalisasi, disiplin fiskal dan peralihan perbelanjaan awam, menguatkan lagi kempen pemansuhan subsidi tenaga ini.

“Kempen ini kemudian disertai oleh badan-badan berkaitan kewangan global seperti Bank Dunia dan IMF. Yang terakhir G20 juga menetapkan sasaran untuk pemansuhan subsidi jenis ini.

“Akibatnya, subsidi tenaga telah dikurangkan termasuklah di kebanyakan negara yang baru muncul di Eropah Tengah dan Timur, dan beberapa negara Afrika dan Asia,” jelasnya lagi.

‘Rasionalisasi Subsidi’

Beliau berkata, dasar dan amalan pemberian subsidi adalah sangat tidak popular di dalam ekonomi liberalisme, malah ia termasuk antara perkara yang menyongsang daripada tujuan yang mahu dicapai oleh liberalisme.

“Pengurangan, pemotongan dan pemansuhan subsidi telah diusahakan dari semasa ke semasa atas pelbagai alasan termasuklah perbelanjaan negara yang berhemah, penyaluran subsidi secara bersasar dan juga demi pemuliharaan alam sekitar.

“Dalam konteks negara Malaysia, meskipun Malaysia bukanlah tergolong sebagai negara ekonomi liberalisme sepenuhnya, pengurangan, pemotongan dan pemansuhan subsidi dibuat atas alasan ‘Rasionalisasi Subsidi’,” kata beliau.

Dalam pada itu, ekonomi Barat lazimnya mentakrifkan subsidi sebagai ‘sejumlah wang yang diberikan daripada dana awam untuk membantu industri atau perniagaan bagi memastikan harga sesuatu komoditi, barangan atau perkhidmatan kekal rendah’.

“Takrifan ini menjelaskan bahawa subsidi adalah dana yang diperuntukkan oleh sesebuah kerajaan, yang disalurkan kepada pihak industri atau pihak perniagaan, supaya dengan dana tersebut harga komoditi, barangan dan perkhidmatan yang sampai kepada pengguna akhir adalah rendah.

“Konsep subsidi ini agak sempit kerana ada juga kategori subsidi yang disalurkan langsung kepada pengguna akhir, tanpa melalui pihak industri atau pihak perniagaan.

“Malah sebenarnya subsidi kategori inilah iaitu ‘wang yang dibayar oleh kerajaan atau sesebuah pihak berkuasa sebagai bantuan secara langsung kepada masyarakat awam’ merupakan satu bentuk kebajikan.

“Hubungan kerajaan dan rakyat bukanlah seperti hubungan antara peniaga dan pengguna, atau seperti hubungan antara majikan dan pekerja, tetapi adalah seperti hubungan bapa yang menanggung nafkah keluarganya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

Ulasan