Wakil rakyat parti kerajaan pun gagal selesai masalah



Wakil rakyat parti kerajaan pun gagal selesai masalah
June 23, 2024

NIBONG TEBAL: Walaupun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pernah disandang wakil rakyat parti kerajaan selama tiga penggal, namun tetap tidak dapat menyelesaikan isu rakyat di situ.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, tidak timbul isu bahawa dengan mengundi calon pembangkang menyebabkan sesuatu kawasan itu terpinggir dari arus pembangunan.

“Tohmahan yang mengatakan bahawa kalau pembangkang menang, projek tidak datang ataupun tidak dapat nak menyelesaikan masalah, ini merupakan satu tohmahan yang tidak berasas.

“Kalau betul begitu, mereka (dahulu) ada wakil daripada kerajaan yang sepatutnya dapat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat di Sungai Bakap ini.

“Khususnya di Taman Widuri dan juga Mukim Lima dan sekitarnya. Memang banyaklah masalah yang belum dapat diselesaikan umumnya dalam DUN Sungai Bakap ini,” ujarnya.

Kata beliau, walaupun PH-PKR pernah menyandang kerusi tersebut selama tiga penggal, namun banyak masalah masih tidak dapat diselesaikan terutamanya isu bekalan air.

“Kita lihat apa yang telah diperjuangkan oleh Allahyarham YB Abang Zam (Nor Zamri Latiff), turun berjumpa dengan masyarakat, panjat KOMTAR bertemu dengan Exco-exco yang terlibat.

“Memberikan tekanan dan juga membawa memorandum rakyat bertemu dengan Ketua Menteri bertemu dengan pihak PBA dan sebagainya,” kata beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang.

Beliau yang juga ADUN Sungai Dua menambah, usaha yang telah dilakukan itu telah mendapat satu pengiktirafan daripada masyarakat dan penduduk Sungai Bakap.

Mengulas mengenai isu pemansuhan subsidi diesel yang menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan, beliau berkata, hasil tinjauan pihaknya mendapati bahawa rakyat terkesan dan marah dengan perkara itu.

“Masyarakat rata-rata bersungut, rata-rata sangat terkesan dengan kenaikan harga diesel ni. Maklumlah di sini dalam kalangan peniaga-peniaga mereka menggunakan pacuan empat roda.

“Pacuan empat roda ni guna diesel, memang terasa sungguh. Begitu juga dengan golongan petani mereka sangat-sangat terasa dengan kenaikan harga di sini,” ujarnya.

Serunya, pengundi Sungai Bakap harus menjadikan PRK ini sebagai satu referendum dan menunjukkan bantahan terhadap keputusan kerajaan tersebut.

PRK Sungai Bakap diadakan berikutan kematian penyandangnya, Zamri pada 24 Mei lepas setelah tiga minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) akibat komplikasi di bahagian perut.

Tarikh pengundian ditetapkan pada 6 Julai manakala pengundian awal pula pada 2 Julai sementara penamaan calon berlangsung pada hari ini.

Allahyarham Zamri yang bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 15 menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi. – HARAKAHDAILY 23/6/2024

Ulasan