Amilin perlu lengkap diri dengan prinsip perjuangan


Amilin perlu lengkap diri dengan prinsip perjuangan
July 27, 2024


BUKIT GANTANG: Hari Keluarga PAS Pusat 2024 menjadi ruang kesempatan ahli-ahli PAS dalam kalangan anggota Dewan Muslimat mengadakan pertemuan dan mendengar suntikan semangat dari pimpinan.

Pengisian yang diadakan bertujuan memantapkan lagi ikrar dan tekad serta akidah perjuangan, untuk terus melangsungkan gerak kerja jemaah dan parti dalam usaha menegakkan Islam dalam pemerintahan negara.

Sehubungan itu sempena Hari Keluarga ini, Muslimat turut mengadakan program khas pengisian taujihat telah dilangsungkan pada majlis Munajat dan Bacaan Yaasiin di Markas PAS Pekan Bukit Gantang, di sini

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustazah Ana Mastura Ismail telah dijemput menyampaikan pengisian kepada abnaul harakah agar menguasai prinsip asas dalam usaha jihad di jalan Allah.

Dalam taujihat disampaikannya, beliau mengajak seluruh peserta agar sentiasa bermuhasabah dan memperkemaskan intima’ serta melengkapkan diri dengan ciri perjuangan untuk melayakkan mencapai kemenangan.

“Antara prinsip yang terpenting adalah faham akan matlamat perjuangan PAS dan ikhlas supaya semua amalan diterima. Selain itu sabar juga adalah pedoman para anbiya’ berhadapan dengan pelbagai ujian dalaman dan luaran,” tegas beliau.

Ustazah Ana Mastura turut menekankan prinsip tawakal sebelum memulai sesuatu usaha sehinggalah selesai urusan dengan sikap sentiasa berserah dan bergantung harap kepada Allah SWT.

Justeru menurutnya, doa merupakan senjata penting para pejuang walaupun di mana ia tidak dipunyai musuh, namun ia antara senjata yang amat mereka geruni.

Program ini adalah anjuran Unit Daerah Mengundi (UDM) Pekan Bukit Gantang sempena Hari Keluarga tersebut yang keseluruhannya diadakan dalam Parlimen Bukit Gantang dan Kuala Kangsar pada 27 dan 28 Julai. – HARAKAHDAILY 27/7/2024

Ulasan