Fun Run Hijrah Walk julang mahabbah keluarga


Fun Run Hijrah Walk julang mahabbah keluarga
July 28, 2024


KUALA KANGSAR: Hari Keluarga PAS Pusat 2024 jelas bersemarak semangat kekeluargaan dan bagaikan satu fenomena apabila lebih 250 keluarga menyertai Fun Run ‘Hijrah Walk’ Kuala Kangsar 2024 yang diadakan di Persisiran Sayong, di sini.

Acara santai kekeluargaan ini menyaksikan anak-anak termasuk bayi bersama ibu dan ayah, malah ada juga ‘atuk dan opah’ masing-masing turut hadir menyertai riadah berlari dan berjalan kaki di persekitaran damai alam semulajadi dan perkampungan.

Telatah anak-anak yang cukup riang ceria dan energetik bersemangatkan gaya hidup sihat bertambah seronok gembira dapat berjumpa rakan-rakan sepengajian, sementara ibu bapa meluangkan cuti hujung minggu merehatkan diri dari kesibukan kerja.

Aura mahabbah diselubungi nyaman udara pagi di tepi Sungai Perak yang turut tersergam banyak monumen penting sejarah negeri ini dapat disaksikan saujana mata memandang, ditenangkan lagi dengan sesi tazkirah ringkas sebelum acara.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri dalam ucapannya menyeru ibu bapa agar sentiasa memberi perhatian tinggi kepada pendidikan dan aktiviti anak-anak dalam membentuk mereka menjadi insan soleh dan solehah.

Katanya, anak-anak adalah anugerah Allah SWT dan mesti dididik dengan akhlak Rasulullah SAW untuk mereka tumbuh bagi mewarisi masa depan lebih baik untuk negara ini dengan Islam yang menjadi kehidupan dan didaulatkan.

Beliau yang juga ADUN Manjoi mengingatkan ibu bapa bahawa anak-anak mesti dibesarkan dengan keimanan dan ketakwaan kerana mereka adalah harta paling bernilai buat keluarga di dunia dan untuk kehidupan di akhirat kelak.

Hafiz turut membuat pelepasan peserta diiringi Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Zulfadli Zainal yang juga ADUN Slim dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar, Ustaz Mohamad Omar Adam.

Semua peserta terdiri daripada anak-anak bersama ibu bapa dan atuk opah mereka dikehendaki melalui laluan yang berjarak 3 kilometer dengan melalui beberapa perkampungan termasuk kawasan perusahaan labu sayong dan persisir sungai.

Seramai 250 individu terawal sampai ke garisan penamat telah diberikan hadiah berupa kalungan medal di mana program ini terdahulu turut dimeriahkan acara senaman bersama zikir dan sesi bergambar.

Program ini turut melakukan ‘aktiviti hijau’ apabila mengajak para peserta membersihkan kawasan sekitar daripada sampah-sarap. – HARAKAHDAILY 28/7/2024

Ulasan