Hari Keluarga PAS Pusat 2024 meriah, luar biasa





Hari Keluarga PAS Pusat 2024 meriah, luar biasa
July 28, 2024


BUKIT GANTANG: Hari Keluarga PAS Pusat 2024 yang diadakan di Perak merupakan paling meriah sejak program itu dianjurkan sebelum ini, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, ia juga pertama kali program ini diadakan pada skala besar-besaran dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Perak serta PAS Kawasan Bukit Gantang dan PAS Kawasan Kuala Kangsar.

“Meriahnya luar biasa, lebih daripada sambutan Rumah Terbuka Hari Raya. Ditambah pula diisi dengan pelbagai acara menarik,” ucap beliau di Arena Futsal sempena Majlis Penutup Hari Keluarga PAS Pusat 2024, hari ini

Pengisian serta acara yang disusun katanya, sangat bertepatan kerana disertai pelbagai lapisan umur dan meluas di kedua-dua kawasan melibatkan semua 30 Unit Daerah Mengundi (UDM) di Bukit Gantang dan enam UDM di Kuala Kangsar.

Kata Dato’ Sri Tuan Ibrahim, beliau yakin peristiwa ini akan kekal menjadi sejarah yang sangat manis kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS khususnya di Kawasan Bukit Gantang dan Kuala Kangsar.

“Saya mengharapkan akan ada program susulan di dua kawasan ini (Bukit Gantang dan Kuala Kangsar) untuk membuktikan kepada rakyat PAS bukan sahaja parti politik tetapi juga kemasyarakatan, kebajikan serta menjaga hubungan sesama ahli,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian tidak lupa mengucapkan terima kasih atas kerjasama dua PAS Kawasan berkenaan yang bertungkus lumus menjayakannya

Hari Keluarga PAS Pusat 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 27 Julai diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya, ziarah asnaf, pertandingan bola sepak, memasak, mewarna, ceramah, kuliah dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 28/7/2024

share & sebarkan:

Ulasan