Isu KK Mart: Pendakwaan tidak teruskan kes memalukan umat Islam


Isu KK Mart: Pendakwaan tidak teruskan kes memalukan umat Islam
July 15, 2024

Share
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan kes terhadap KK Mart satu tindakan yang memalukan umat Islam.

“Sepatutnya apabila sudah dibawa ke mahkamah, biarlah mahkamah yang tentukan sama ada bersalah atau tidak melalui perbicaraan yang adil,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, ia seolah-olah meletakkan maruah umat Islam terhina dengan begitu rendah nilaiannya.

Apatah lagi, kata beliau rakyat melihat bagaimana ‘baiknya’ hubungan Pengasas Kumpulan KK Super Mart dengan kerajaan yang ada apabila turut sama menyertai rombongan Perdana Menteri ke Uzbekistan. baru-baru ini.

“Adakah ini satu lagi pencapaian kerajaan Madani?” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Hari ini, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn. Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, isteri, Goh Li Huay, dan anak mereka, Soh Hui San, juga mendapat perintah sama.

Mahkamah memutuskan demikan selepas pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap kesemua tertuduh. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

Ulasan