Isu moral bukan terhad kepada satu kaum sahaja


Isu moral bukan terhad kepada satu kaum sahaja

Tuan Ibrahim sanggah kenyataan Dr Dominic
July 29, 2024

BUKIT GANTANG: Presiden GERAKAN, Dr Dominic Lau Hoe Chai yang kenyataannya senada dengan pendirian DAP menyokong sumbangan syarikat arak di sekolah-sekolah aliran Cina, telah memberikan imej negatif dan boleh menimbulkan polemik.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai salah seorang presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) Dr Dominic sepatutnya perlu mendukungi mana-mana nilai baik yang telah dibuat.

“Walaupun mungkin kenyataan itu pandangan peribadi beliau (Dominic), tetapi sebagai presiden parti, ia boleh dianggap pendirian parti itu sendiri. Kita kena sedar isu ini bukan masalah kita (pembangkang).

“Tapi masalah kerajaan. Sepatutnya kerajaan selesaikan dan kita tegas dengan prinsip kita,” kata beliau kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas Majlis Penutup Hari Keluarga PAS Pusat 2024, di Arena Futsal, semalam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menegaskan, semua perkara yang membawa kesan negatif serta implikasi buruk tidak wajar disokong oleh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Jelas beliau yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), sekiranya kenyataan Dr Dominic itu untuk mendapatkan sokongan daripada kaum Cina, tetapi baginya itu bukanlah cara yang betul.

“Sama ada Cina, Melayu dan lain-lain, nilai moral perlu diberi perhatian dan tidak mahu ada kaum tertentu tidak hiraukan nilai moral sebab kita semua rakyat Malaysia,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, katanya lagi, tidak sepatutnya perkara negatif itu cuba dinormalisasi kepada pelajar sekolah, sedangkan syarikat rokok juga tidak dibenarkan memberi sumbangan kepada sekolah.

“Apatah lagi hasil daripada aktiviti yang jelas membawa kemudaratan kepada masyarakat,” tegas beliau lagi menolak sama sekali dana dari syarikat seperti itu diberikan kepada sekolah sebagai tempat didikan anak-anak.

Terdahulu, isu sumbangan syarikat minuman keras pada Konsert Amal anjuran Lembaga Pengurusan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sepang yang dihadiri Timbalan Menteri beragama Islam, tular serta mendapat maklum balas pelbagai pihak.

Tindakan itu bercanggah dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bahagian 3, Tahun 2018, yang melarang sebarang sumbangan melibatkan hasil perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebelum ini, Tuan Ibrahim menyelar sikap pemimpin DAP yang memberi amaran agar Menteri Pendidikan tidak berpendirian seiring dengan PAS berkenaan isu dana pendidikan melibatkan sekolah-sekolah Cina.

“Adakah segala kenyataan dan dasar yang ditetapkan oleh DAP perlu menjadi dasar yang harus diikuti oleh Kerajaan PH-BN. Adakah ‘Abang Besar’ (Lim Guan Eng dan DAP) ingin mengajar Menteri Pendidikan?

“Bahawa mempromosikan arak di kawasan sekolah adalah perbuatan baik kepada murid walaupun murid bukan beragama Islam?” soal beliau. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

Ulasan