‘Kami serba salah, apa-apa pun semua salah DAP’


‘Kami serba salah, apa-apa pun semua salah DAP’
TERESA KOK
Oleh ZULKIFLI JALIL dan AQILAH MIOR KAMARULBAID
11 Julai 2024, 7:50 am

Mukadimah
NAIB Pengerusi Kebangsaan DAP, TERESA KOK antara anak didik Tan Sri Lim Kit Siang yang berjaya dalam dunia politik. Ilmu yang diperoleh daripada veteran DAP itu dimanfaatkan sepenuhnya sehingga mampu mempertahankan enam penggal kerusi parlimennya di Seputeh.
Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto, SHIDDIEQIIN ZON di pejabat khidmatnya di ibu negara Isnin lalu, Teresa, 60, berkongsi cabaran getir DAP terutama dalam menangani sentimen anti Islam dan anti Melayu yang `dipalitkan’ kepada DAP.
Ini sehinggakan DAP pernah diminta supaya `meredakan’ siri ceramah dalam beberapa pilihan raya yang kebiasaannya dihadiri khalayak yang ramai.
Tambah pedih lagi tiba-tiba pula DAP dipersalahkan kerana kononnya gagal meraih sokongan pengundi Cina selepas Kerajaan Perpaduan gagal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai lalu. Berikut luahan hati Teresa.

DAP KEKAL RAIH SOKONGAN SEMUA KAUM

Kawasan yang banyak kami menang kebanyakan penduduknya Cina tetapi sekarang sudah pelbagai kaum. Contoh PRK Kuala Kubu Baharu, jika dilihat hanya 30 peratus pengundi Cina. Ada juga beberapa kawasan yang pengundi Cina adalah bukan majoriti seperti di Bentong yang mana Cina hanya terdiri daripada 40 lebih peratus. Bangi juga lebih kurang sama. Asal penubuhan DAP bukan untuk Cina sahaja tetapi semua kaum. Cuma kebetulan tragedi 13 Mei 1969 dan DAP ditubuhkan awal dari itu pada 1966 oleh Dr. Chen Man Hin dan waktu itu setiausaha agungnya berbangsa India, Devan Nair. Waktu itu jika tak silap sudah ada wakil rakyat dan calon Melayu seperti Ahmad Nor.

Macam kawasan saya, dulu 90 peratus adalah pengundi Cina, tetapi sekarang tinggal 73 peratus. Peruntukan yang disalurkan kepada komuniti Melayu dan aktiviti seperti Jualan Rahmah diadakan di kawasan yang lebih banyak penduduk India dan Melayu. Bagi saya, golongan mana yang perlukan bantuan, kita akan salur lebih usaha ke kawasan itu. Warna kulit, agama tidak penting dan selama ini ia adalah prinsip DAP (parti pelbagai kaum) tetapi kenapa orang Cina bagi lebih sokongan kepada kami kerana kawasan yang ditandingi DAP selama ini di bandar yang mana majoriti penduduknya adalah Cina.

Tetapi kini penduduk Melayu di bandar sudah melebihi 50 peratus. Jadi, 20 hingga 30 tahun akan datang, majoriti penduduk di Kuala Lumpur adalah Melayu kerana penghijrahan dari kampung ke bandar serta faktor orang Melayu mempunyai lebih jumlah anak berbanding kaum lain. Lama-kelamaan bagi parti dan ahli politik yang menjadikan sasaran orang Cina itu musuh, tiada lagi.

DEMOGRAFI BERUBAH

Mereka ini jadikan DAP musuh, semua yang bukan-bukan dilemparkan, semua salah DAP. Okeylah boleh buat (guna sentimen benci DAP) untuk tempoh 10 tahun lagi dan selepas itu tidak boleh lagi kerana semua demografi negara berubah.

Sebab itu selama ini DAP berpegang pada kepelbagaian kaum. Kita berkhidmat untuk semua. Sebelum Kit Siang bersara, beliau melancarkan Impian Malaysia, Impian Sabah, Impian Sarawak dan bawa kami ke perkampungan Iban, kampung Kadazan dan Dusun.

Sekarang ini mahu DAP dilihat sebagai parti untuk semua orang Malaysia. Lagu parti ini, jika diperhatikan lirik juga untuk semua rakyat Malaysia. Pun begitu, ia bukan mudah kerana selama ini bila dilahirkan sebagai Melayu sudah diberitahu Cina jahat, DAP ini jahat, komunis walaupun ketika itu mereka ini tidak tahu apa itu komunis. Semua ini dicampur adukkan sebagai anti Islam, anti Melayu. Tidak mudah bagi kami untuk menangi hati masyarakat Melayu khususnya di luar bandar.

KALAH PRK SALAH DAP?

Saya juga dengar yang bukan-bukan dan pembohongan tentang DAP yang dilemparkan. Namun saya akan terus berjuang dan kadang-kadang ada sesetengah PRK, malah kami punya rakan dalam gabungan politik yang sama minta kami jangan buat ceramah, jangan terlalu menonjol kerana bila kami buat ceramah, ramai orang datang.

Jadi, bila hanya 47 peratus Cina keluar mengundi dalam PRK Sungai Bakap, ada veteran UMNO pula cakap DAP perlu bertanggungjawab. Padahal ia bukan salah kami. Apa kita boleh buat? Kita tidak boleh masuk kampung, kena halau. Mereka mahu kita tidak menonjol, kita buatlah. Ini adalah tanda hormat kepada rakan parti.

Kalau keadaan ini diteruskan dengan pengundi Cina tidak mengundi dan dalam masa sama tidak mahu undi pembangkang, keadaan akan jadi lebih teruk apabila tidak berminat dan boikot seperti kali ini, susahlah.

Seperti di PRK Kuala Kubu Baharu, kami juga diminta jangan terlalu berceramah secara besar-besaran. Walaupun ada wakil Melayu DAP yang turun berkempen seperti Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi) tetapi kami boleh buat lebih dari itu, cuma dinasihatkan (untuk tidak terlalu menonjol) kalau mahu menang, kerana Melayu sana tidak suka.

ANALISIS TEPAT

Bila orang Cina tidak mengundi, saya fikir ada banyak alasan seperti isu-isu nasional, tempatan dan sebagainya. Sebenarnya sudah tiba masa bagi Pakatan Harapan (PH) dan gabungan Kerajaan Perpaduan membuat analisis yang betul, apa sebab utama kekalahan di Sungai Bakap ini.

Saya ikut analisis dari pelbagai medium. Ada satu penganalisis politik dan jika dia betul (seperti yang ditulis) bahawa 70 peratus (jumlah keseluruhan pengundi Melayu di Sungai Bakap) dan dari jumlah itu sebanyak 80 peratus undi Perikatan Nasional (PN) sementara pengundi Cina dan India kebanyakannya mengundi PH tetapi impaknya sudah dikurangkan. Daripada jumlah pengundi Cina dan India yang keluar mengundi, 90 peratus daripadanya mengundi PH tetapi 10 peratus lagi Cina dan 35 peratus India berpihak kepada PN.

Jadi, apa yang kita selalu fikir tidak semestinya akan terus berlaku kalau tidak buat analisis yang betul untuk mengetahui sentimen pengundi daripada pelbagai tempat, juga kaum.

ISU NASIONAL PUNCA KALAH

Isu seperti penyasaran diesel tentu dimainkan sedangkan kita tahu bila sesuatu yang selama ini dinikmati (subsidi diesel), rakyat akan ada kelompongan. Tetapi kerajaan juga membantu nelayan, pekebun kecil, syarikat logistik dan lain-lain.
Pembangkang pandai main isu. Misalnya mereka tidak puas hati seperti pelancongan. Mereka kata van yang membawa pelancong jika tanpa bantuan subsidi diesel boleh jejaskan industri pelancongan negara tetapi jika lihat Thailand dan Indonesia yang tiada subsidi diesel masih menarik ramai pelancong asing ke negara itu.

PERPADUAN

Apa yang kita ingin capai ialah perpaduan. Ini yang penting untuk negara. Ramai di antara kami belajar dari Kit Siang. Bagi beliau, apa yang paling penting adalah negara dan kedua parti. Ini sebab pada 2018, walaupun DAP menang 44 kerusi tetapi Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri tidak memberi kerusi yang setanding dengan nisbah kemenangan DAP di Kabinet.

Begitu juga dengan kerajaan hari ini, kami kurang diberikan kerusi di Kabinet supaya tidak dijadikan sasaran oleh pembangkang mengatakan kerajaan ini dimonopoli DAP, pun begitu mereka masih tidak henti (cakap buruk tentang DAP). Apa lagi yang boleh kami buat? Kami sudah berkorban untuk mempertahankan negara namun kerajaan masih diserang oleh mereka yang rasis dan bukan-bukan. Semua mahu dijadikan isu.

Kemudian orang India marah kepada DAP, kata kami ini diam sahaja, bagaimana? Apa yang boleh kita buat?

MCA setiap konvensyen partinya marah DAP. Kita terpaksa lawan balik tetapi ini kurang elok, lebih-lebih lagi kita dalam kerajaan yang sama, lawan sesama sendiri.
Semua ini kita harus lihat. Ya, saya sudah buat apa yang perlu. Kalau kami ‘tunduk’ terlalu banyak, kami dimarah oleh penyokong. Kami jadi serba salah. Apa-apa pun semua salah DAP.

MCA, GERAKAN TIDAK RELEVAN

MCA berjuang untuk orang Cina, DAP pula pelbagai kaum. Macam saya, ada juga pekerja Melayu. Begitu juga di pejabat DAP, ada juga pekerja Melayu dan India.

Bagi DAP, kaum bukan satu masalah tetapi sedih bila masih terhimpit dalam naratif kaum dan agama.

DILEMA DAP

Dilema yang kita hadapi apabila ada orang seperti Dr. Muhamad Akmal Saleh (Ketua Pemuda UMNO) yang setiap minggu mengeluarkan kenyataan berbau rasis, yang hentam DAP dan sebagainya sehingga kami tidak boleh diam lagi, terpaksa balas balik sehingga dilihat kedua-dua parti ini seperti bergaduh.

Kalau kami tidak balas, kami disifatkan oleh masyarakat Cina dan India sebagai parti `diam-diam’. Bila gaduh macam dulu dengan UMNO, Pemuda UMNO, kami dilihat oleh orang Melayu sebagai biadab dan rasis.
Ini menunjukkan ketidakstabilan dalam Kerajaan Perpaduan. Kalau terus begini, susahlah.

DAP ‘DIRECT AWARD PARTY’?

Kalau ada bukti, parti saya juga tidak akan berpihak mana-mana. Lagipun Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) juga mengalu-alukan siasat daripada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Ini adalah sikap kami. Yang anehnya Ketua Pesuruhjaya SPRM kata tiada kes tetapi mereka mahu siasat semula, maka siasatlah.
Dulu saya dituduh oleh Jamal Md. Yunos (Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar) kononnya saya gunakan dana Kerajaan Selangor untuk kegunaan diri sendiri dan sebagainya. Saya lawan lapan hingga sembilan tahun baru menang dan dia terpaksa bayar (saman) kepada saya.
Dia (Jamal) tahu SPRM menyiasat tuduhan dia. SPRM datang ke pejabat, ambil fail berkaitan dana Yawas (Yayasan Warisan Anak Selangor). Nasib baik kami sempat fotostat sebagai bukti.
Apa yang saya ingin sampaikan ialah apabila SPRM kata mahu siasat, mereka memang serius membuat siasatan.

SAMAN JALAN TERBAIK

Jika difitnah perlu saman sebab saya selalu dituduh dan difitnah antara kononnya ‘Teresa Kok nafi Islam adalah agama Persekutuan’. Kenyataan itu kononnya ketika dalam mahkamah. Bayangkan kalau saya cakap begini dalam mahkamah, sudah pasti semua media mainkan isu ini tetapi tidak pula ada cerita ini dalam media.
Ada juga fitnah kononnya saya dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Mesti beliau (Ahmad Shabery) sangat marah. Bagi saya saman itu perlu untuk mempertahankan diri kita.

KETIDAKTENTUAN POLITIK
Susah untuk buat ramalan kerana politik ini ada banyak perkara yang mungkin mengubah keadaan sedia ada dan banyak cabaran. Macam sekarang PRK Sungai Bakap, calon Kerajaan Perpaduan kalah dengan majoriti yang lebih besar, dengan orang Cina dan India mula mengundi pembangkang. Ini menyumbang ketidaktentuan pola pengundian.
Kerajaan perlu kaji bagaimana untuk tarik sokongan semua kaum dan adakah BN (Barisan Nasional) akan terus bersama PH? Kita tidak tahu walaupun Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu akan terus bekerjasama kerana ada (ahli UMNO) yang tidak setuju.

Bagi MCA pula sudah kata dalam PRU akan datang mereka akan terus lawan DAP.
Begitu juga di Sabah dan Sarawak banyak ketidaktentuan. Dalam PRN akan datang, kali ini kita lawan seperti sebelum-sebelum ini. Ini juga akan menjejaskan hubungan kerjsama dengan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan sebagainya.

Begitu juga hubungan dengan Warisan (Parti Warisan) di Sabah. Selepas kami tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ketika era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kita tidak lagi bekerjasama. Agak susah untuk buat apa-apa ramalan tetapi yang penting adalah harus akui, kita semua rakyat Malaysia, hubungan baik antara semua kaum dan penganut agama penting.

KELANTANGAN RAFIZI PUNCA KALAH?
Kadang-kadang mungkin dia tidak bermaksud begitu. Saya juga orang politik, ada ketika ia diambil di luar konteks. Dia bukan mahu memperlekeh pengundi tetapi ia diterjemahkan seperti itu. Saya rasa ada banyak faktor, bukan kerana Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR) sahaja, bukan kerana masalah air, semua dicampur aduk dan kita perlu juga ingat ramai pengundi tinggal di luar Sungai Bakap, ada yang bekerja di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura. Jika balik kampung perlukan sekurang-kurangnya RM200 hingga RM300 untuk satu undi. Dan kita parti politik tidak boleh membayarkan tambang pengundi, ini dilarang SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).

RAHSIA BERTAHAN ENAM PENGGAL
Majoriti pengundi DAP di Seputeh ada trend penambahan. Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, lawan saya dari MCA hilang deposit. Di kaca mata pengundi, mereka merasakan parti lawan sudah tidak relevan dan ada trend kecenderungan nasional.
Kedua, saya banyak bekerja, saya berkhidmat untuk kawasan, mungkin ini kenapa saya menang. – UTUSAN

Ulasan