Kes Farah Kartini: Kerugian buat masyarakat

Kes Farah Kartini: Kerugian buat masyarakat
July 16, 2024


KOTA BHARU: Masyarakat mengalami kerugian kerana kehilangan bekas penuntut cemerlang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang disahkan mati akibat dibunuh.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Asmak Husin berkata, Allahyarhamah merupakan seorang pelajar pintar di mana memperoleh Purata Gred Nilai (GPA) 4.0 dalam pengajiannya.

Bukan itu sahaja malah menurutnya, beliau difahamkan Allahyarhamah juga seorang pekerja yang berdedikasi dan rajin dalam tugasnya di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Perak.

Asmak ketika dihubungi melahirkan rasa sedih di atas peristiwa menimpa bekas pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Multimedia di UPSI, Tanjung Malim tahun 2019 itu.

“Biar apapun motif pembunuhan, namun negara telah kehilangan seorang anak muda yang pintar dan paling menyedihkan beliau berada jauh dari keluarga.

“Kita sebagai anggota masyarakat perlu rasa bertanggungjawab dengan apa yang telah menimpa Allahyarhamah Nur Farah dan semoga tidak ada lagi kejadian yang serupa selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Asmak berkata, tragedi yang berlaku menuntut muhasabah daripada semua pihak di mana pelbagai penyebab tindakan tidak berperikemanusiaan seperti itu masih berlaku.

Pada 11 Julai lalu polis menerima laporan pada pukul 1:56 pagi berhubung kehilangan Nur Farah Kartini, selepas gadis itu menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Bagaimanapun semalam, mayat Nur Farah Kartini dilaporkan ditemui di FELDA Gedangsa, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang di mana mangsa dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024

Ulasan