Khianat mandat tak berlaku jika ada tanggungjawab





Khianat mandat tak berlaku jika ada tanggungjawab
July 29, 2024

Share

KUALA KANGSAR: PAS lebih awal lagi menempuh pengalaman berdepan wakil rakyat yang melompat parti atau mengkhianati mandat sebagaimana perkara sama berlaku bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang dan Kuala Kangsar.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengimbau semula peristiwa yang berlaku tahun 1965 yang mengakibatkan PAS kehilangan Kerajaan Negeri Kelantan setelah tiga ADUN melompat parti ketika itu.

Malah menurutnya, perbuatan sama telah menyebabkan PAS hampir kehilangan pemerintahan negeri tahun 1990 apabila terdapat ADUN ketika gabungan bersama Semangat 46 telah bertindak mengisytiharkan sokongan kepada Umno.

Katanya, walaupun kes di Kelantan menyebabkan kerusi berkenaan diisytiharkan kosong dan diadakan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), serta dimenangi calon baharu, tetapi keputusan mahkamah mengekalkan kemenangan asal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berucap demikian dalam Ceramah Himpunan Rakyat Terbeban yang diadakan sempena Hari Keluarga PAS Pusat 2024 di Mini Arena Taman Bunga Raya, di sini malam kelmarin.

Rentetan itu ujar beliau, PAS mencari penyelesaian untuk mengikat calonnya lalu diperkenalkan baiah berjanji ikrar tidak akan lompat atau meninggalkan parti di mana jika berbuat demikian wajib kosongkan kerusi dan haram semua gaji elaunnya.

Bahkan ceritanya, pemerintahan Kelantan juga pernah diuji ketika berkedudukan beza hanya satu kerusi, terdapat wakil rakyat PAS didatangi ejen sebuah parti menawarkan wang tunai RM5 juta untuk bertindak melompat parti, namun ditolaknya.

“Saya ingat lagi (Almarhum) Tok Guru Dato’ Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) sebut pada kami pimpinan dalam ucapan dia. Dia kata, ibarat kenderaan, kalau iman kita baik, sama kereta baik. Bila kereta baik, pintu tak rapat, menyala lampu.

“Bila tayar kurang angin ni ditunjuk. Bila minyak hitam kurang, dia tunjuk. Ada signal dia. Bila air tak ada dia tunjuk. Kereta baru, macam iman yang baru. Tapi kalau kereta buruk dia tak tunjuk. Ya. Sampai kering air baru tahu berasap.

“Maknanya betul Nabi kata perbaharui iman kamu dengan banyak ucap lailahaillallah. Pertimbangan ke habis dunia urusan kita banyak di akhirat. Ada orang yang menang di atas jasa petugas parti turun kempen habis-habisan. Menangkan dia.

“Sebahagian besar bertugas tak ada duit apa-apa. Keluar duit sendiri nak pastikan calon kita menang. Tiba-tiba bila dia menang, dia khianat. Kononnya nak dapat peruntukan. Rakyat beritahu kami tak nak peruntukan.

“Yang penting bagi rakyat ialah kesetiaan pada parti yang diwakili. Betul tak? Ini bukan sebab peruntukan. Ramai yang lebih susah daripada dia,” ujarnya menyanggah kononnya kes melibatkan enam Ahli Parlimen berkenaan disebabkan masalah sekatan peruntukan.

Beliau turut menyampaikan kisah teladan melibatkan beberapa tokoh PAS yang bergolok gadai tanah dimiliki untuk membiayai arahan menjadi calon pilihan raya, termasuk wakil rakyat membuat pinjaman bank bagi membolehkan bantuan-bantuan kepada rakyat.

Usaha mengikat itu juga katanya, hinggakan PAS Kelantan semasa Tuan Guru Nik Aziz lagi telah menambah sumpah baiah khusus dengan kebenaran Majlis Syura Ulamak melibatkan ikatan dengan isteri masing-masing.

Begitu juga peraturan perundangan dan persetujuan tertentu dibuat parti-parti lain untuk perkara seumpama tidak berlaku, namun hakikatnya itu semua adalah usaha supaya perbuatan sedemikian dielakkan daripada terjadi.

“(Tapi) Dia boleh langgar (juga). Sebabnya itu bagi kita yang besar ialah rasa tanggungjawab jawatan kepada Allah. Jawatan ni kalau tak isi dengan betul, tak laksanakan betul akan menyesal di hadapan Allah,” peringatnya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

Ulasan