La Hot Spring: Kolam air panas lelaki, wanita diasingkan



La Hot Spring: Kolam air panas lelaki, wanita diasingkan
July 29, 2024

Share
La Hot Spring kini antara lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terenganu akan melaksanakan pengasingan kolam air panas untuk lelaki dan wanita di La Hot Spring dekat Jertih, Besut.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato’ Razali Idris berkata, langkah itu diambil kerana ruang yang ada ketika ini sudah tidak mampu menampung kehadiran pelancong.

“Oleh kerana terlampau ramai pelancong hadir dan kita melihat kolam tersebut perlu diasingkan ia disebabkan kolam terlampau sempit dengan pengunjung lelaki dan perempuan bercampur gaul, walaupun tutup aurat tetapi tidak sesuai kepada kita masyarakat negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Husaimi Hussin (Bersatu-Hulu Besut) mengenai langkah kerajaan dalam usaha untuk mengasingkan kolam air panas bagi lelaki dan wanita di La Hot Spring.
Razali Idris

Mengulas lanjut, beliau menyatakan, kerajaan jug sedang mempertimbangkan secara serius untuk memperuntukkan sedikit bajet bagi menyegerakan proses pengasingan kolam lelaki dan wanita dengan mengambil kira infra yang sedia ada.

Beliau berkata, pembinaan ruang bagi mengasingkan pengunjung lelaki dan wanita itu dianggarkan menelan belanja antara RM30,000 hingga RM50,000.

“Insya-Allah di penghujung atau awal tahun hadapan kita akan lihat kolam La Hot Spring akan diasingkan antara lelaki dan wanita,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan negeri akan melaksanakan strategi penjenamaan yang kukuh bagi penjenamaan La Hot Spring dan sebuah lagi kawasan di Lata Tembakah sebagai destinasi eko-pelancongan dan kawasan rekreasi utama di Terengganu.

“Ia termasuk penggunaan logo, slogan dan identiti visual dalam semua bahan promosi,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

Ulasan