Mereka tak pernah ‘pakat elok’ dalam Pakatan Harapan



Mereka tak pernah ‘pakat elok’ dalam Pakatan Harapan
July 28, 2024


KUALA KANGSAR: BERSATU pernah menempuh pengalaman berasa sukar untuk menjaga kepentingan agama, bangsa, negeri dan kewangan apabila berada bersama Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, PKR dan PAN.

Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu berkongsi perkara dilalui tersebut semasa beliau mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Perak sebagai Menteri Besar bersama PH selama kurang dua tahun.

“Walaupun di dalam Exco Kerajaan Negeri Perak ketika itu kita adalah merupakan sama banyak, campur dengan Menteri Besar (masih) majoriti orang Melayu beragama Islam, namun ada di kalangan kita telah menjadi boneka kepada puak lain.

“Walaupun mereka datangnya daripada parti yang didominasi oleh orang agama Islam berbangsa Melayu tetapi mereka pada ketika itu lagi telah mula menjadi boneka kepada parti DAP,” ujarnya dalam ceramah Himpunan Rakyat Terbeban, di sini malam tadi.

Ceramah ini diadakan sempena Hari Keluarga PAS Pusat 2024 yang berlangsung di semua 30 Unit Daerah Mengundi (UDM) dalam Parlimen Bukit Gantang dan di enam UDM dalam Parlimen Kuala Kangsar selama dua hari bermula semalam.

Bidas beliau, terdapat Exco Melayu yang juga bekas Menteri Besar ketika itu yang setiap bicaranya sering kali cenderung kepada telunjuk dan kepentingan DAP, seolah-olah mendapat arahan dan berketuakan DAP.

“Kami akan menghadapi pelbagai masalah kerana antara orang yang menekan kerajaan saya ketika itu adalah datangnya daripada parti PAN, datangnya daripada Exco yang pernah jadi Menteri Besar.

“Yang menekan agar hak milik tanah kekal ataupun 999 tahun itu diberikan kepada Kampung-kampung Baru Cina. Beliau yang menekan selain daripada rakan-rakan Exco yang daripada DAP,” dedah beliau.

Hakikatnya tegas bekas Ahli Parlimen Tambun itu, kesejahteraan dan kesepakatan yang elok baik sebenar tidak pernah wujud dalam PH hinggakan banyak perkara juga dibangkang atau dibantah parti-parti tersebut untuk dilaksanakan.

Menurut Ahmad Faizal lagi, keadaan berbeza semasa beliau diberi peluang menjadi Menteri Besar di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bersama PAS dan Umno di mana tidak pernah merasa gundah-gulana sepertimana dilalui sebelum itu.

“Exco-exco kita daripada PAS, daripada BERSATU terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa,” imbasnya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan melanjutkan cerita selepas PRU15 di mana Saarani enggan bersama PN.

“Kerana pada ketika itu, perjalanan politik, negeri kita berjalan dengan begitu baik. Seronok datang kerja, seronok bermesyuarat. Saya bersama dengan YB Pak Teh, Tuan Haji Razman Zakaria bersama dengan Datuk Saarani (Mohamad).

“Kita elok pakat, kita bangunkan negeri kita dengan baik. Dua tahun berturut-turut kita adakan belanjawan kita ada lebihan. Ditakdirkan hayat saya sebagai Menteri Besar dipendekkan.

“Namun apabila diteruskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai oleh Dato’ Saarani, ada tak nampak orang BERSATU berguling-guling (protes). Ada nama tak orang PAS marah-marah? Tak ada kan?

“Kita elok pakat. Di Kerajaan Pusat, Dato’ Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Di negeri Perak, Dato’ Saarani daripada Umno. Elok pakat. Walaupun saya bukan lagi jadi Menteri Besar, kita bagi sokongan sepenuhnya kepada beliau.

Menurut beliau, Umno-Barisan Nasional (BN) yang merudum jumlah kerusi dimenangi parti itu pada PRU15 berbanding pencapaian menjulang dicapai PN bagaimanapun memilih berpakat dengan PH didominasi DAP.

Tempelaknya, tindakan tersebut sebenarnya bukanlah kehendak ahli-ahli Umno, tetapi disebabkan oleh kepentingan peribadi Saarani sendiri dan pemimpin tertentu di dalam parti tersebut yang mahukan jawatan Menteri Besar diberikan kepada mereka.

Tegas beliau lagi, perkara terpenting pada ketika itu ialah mewujudkan kerjasama dalam kalangan para pemimpin daripada parti-parti yang bertunjangkan Islam dan Melayu, tetapi tindakan pemimpin Umno menjadikan keadaan sebaliknya.

“Hari ini apa kesudahannya? Yang pertamanya nak tubuhkan ketua kampung pun ambil masa terlalu lama, berbulan bertahun. Kemudian (lantikan) Ahli-ahli Majlis Daerah, Ahli-ahli Majlis Perbandaran, ahli-ahli Majlis Bandaraya.

“(Semuanya) dikawal jauh lebih besar jumlahnya daripada kalangan orang bukan-Melayu. Itu kesudahannya, kenapa? Sebab (Saarani) nak jaga jawatan Menteri Besar. Nak jaga tembolok satu orang pemimpin. Bukan dia nak jaga tembolok parti dia.

“Parti dia dalam keadaan rugi, di Bandar Raya Ipoh hari ni ada berapa Ahli Majlis daripada Umno,” ujarnya memaklumkan jumlah yang semakin kecil diperuntukkan kepada parti itu dalam pembahagian jawatan tersebut. – HARAKAHDAILY 28/7/2024

Ulasan