Nasib ADUN Rembia ditentukan Majlis Tertinggi UMNO
AHMAD Zahid Hamidi ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA 2023 di Hotel Berjaya Times Square.
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
17 Julai 2024, 2:48 pm
KUALA LUMPUR: UMNO belum menentukan nasib Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis selepas menyertai Pas dalam keadaan beliau masih digantung keahlian dalam parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk menentukan bentuk tindakan atau hukuman yang bakal dihadapi Muhammad Jailani.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang tindakan lanjut perlu dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk mendapatkan pandangan secara konsensus.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Menteri Melaka dan saya serahkan kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka dan Ketua Badan Perhubungan UMNO Melaka.
“Tindakan-tindakan akan dilakukan kita bawa ke Majlis Tertinggi (MT) UMNO,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Peserta Program-Program Inisiatif Malaysia-China Institute (MCI) di sebuah hotel di ibu negara.
Semalam di Parlimen, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani kini sah menjadi ahli parti itu.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, penyertaan Muhammad Jailani ke dalam Pas tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai ADUN kerana Melaka belum menguatkuasakan undang-undang anti lompat ketika tempoh penyertaan itu.
Persidangan DUN Melaka sebelum ini meluluskan undang-undang yang melarang wakil rakyat bertukar parti dinamakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023.
Kata Takiyuddin pula, Muhammad Jailani mengemukakan permohonan menjadi ahli parti pada 10 Jun 2023 dan permohonan itu diterima pada hari yang sama yang mana Melaka belum ada undang-undang antilompat parti.
Muhammad Jailani dilaporkan asalnya memang ahli UMNO sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR dan menjadi salah seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) Melaka.
Muhamad Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan merupakan antara empat ADUN PH yang melompat parti menyokong BN bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.
Beliau dilaporkan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO sekali lagi bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November 2021.
Isu timbul apabila Muhamad Jailani dilapor hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor, tahun lalu.
Beliau mempertahan tindakannya dengan menegaskan kehadiran di majlis itu bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO, sebaliknya mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.
Pada PRU15 beliau turut menyertai perarakan pada proses penamaan calon Pas Parlimen Ketereh, Kelantan.
Rentetan itu, Lembaga Disiplin UMNO pada September tahun lalu, mengesyorkan keahlian Muhammad Jailani digantung selama enam tahun. –UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan