Nenggiri: Bekas anggota tentera Mohd Rizwadi calon PN
July 29, 2024
GUA MUSANG: Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia Ustaz Mohd Rizwadi Ismail, 41 diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.
- Advertisement -
Pengumuman calon itu dibuat di Markas Tarbiah PAS Gua Musang di Kampung Renok Baru petang ini.
Pengisytiharan nama calon dibuat Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Timbalan Mursyidul Am PAS Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Naib Presiden PAS Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir Naib Presiden-naib Presiden Bersatu Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Dr Ronald Kiandee, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamarudin Md Nor dan Pengarah Operasi PRK Nenggiri Tan Sri Annuar Musa.
Takiyuddin berkata, rakyat di DUN Nenggiri cukup bertuah kerana dalam tempoh dua tahun mereka terpaksa tiga kali membuang undi.
Menurutnya juga Dewan Undangan Negeri Kelantan menjunjung perlembagaan apabila mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong kerana berlaku peralihan sokongan bekas Adun Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim menyokong perdana menteri.
“Mengikut perlembagaan negeri Kelantan apabila seseorang Adun bertindak demikian maka speaker DUN tiada pilihan lain dan mengisytiharkan kerusi tersebut kosong.
“Tetapi negeri yang tidak dipimpin oleh PN tidak mematuhi undang-undang yang mereka sendiri luluskan,” katanya pada majlis pengumuman calon tersebut.
Kamarudin pula berkata, ada penantian akan berlaku iaitu pengumuman calon PN dan PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Menurutnya beliau terasa terharu kerana mendapat kerjasama yang erat daripada PAS Kelantan, biarpun baru bekerjasama.
Kata beliau hasil kerjasama erat inilah diharap mendapat keberkatan bagi meneruskan kemenangan yang lebih bergaya pada 17 Ogos ini.
“Kita akan bekerjasama sama seperti orang kaya bekerja biarpun kita tidak kaya. Ujian pertama bagi Menteri Besar sebagai teraju kerajaan Kelantan,” ujarnya.
Ustaz Ahmad pula berkata, kita sudah lama tunggu pengisytiharan calon PN yang akan bertanding pada PRK 17 Ogos ini.
Katanya hasil perbincangan yang begitu baik akan memberi keputusan terbaik pada PRK nanti. – HARAKAHDAILY 29/7/2024
Ulasan
Catat Ulasan