Nuridah ucapkan syabas buat Fadhlina



Nuridah ucapkan syabas buat Fadhlina
July 29, 2024


Nuridah Mohd Salleh (kiri) dan Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR: “Syabas diucapkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek! Terus pertahankan prinsip.”

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata demikian atas sokongan Fadhlina kerana mempertahankan polisi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang tidak membenarkan sumbangan daripada syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada pihak sekolah.

Menurut beliau, pendidikan bukanlah suatu bidang yang boleh diperkotak-katikkan mengikut selera parti pemerintah.

“Adakah minuman keras sesuatu yang kita patut promosikan di sekolah?” soal Nuridah

Tambah beliau, Fadhlina perlu mempertahankan peraturan sedia ada dan menjaga sebaiknya dasar pendidikan dan warga pendidik di Malaysia.

DMPM turut menyokong ketegasan prinsip dalam menegakkan kebenaran.

“Garis panduan sumbangan kepada sekolah adalah dari KPM dan bukan dari mana-mana parti. Kami yakin hidup tanpa prinsip ibarat kapal tanpa kompas.

“Jangan pernah ragu-ragu untuk bersikap tegas. Allah SWT telah menegaskan tentang kepentingan mempertahankan kebenaran.

“Dalam Surah al-Baqarah, ayat 147 bermaksud: Kebenaran itu (wahai Muhammad), adalah daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook DMPM.

Sehubungan itu, Ustazah Nuridah turut berpesan kepada Fadlina agar berpegang teguh pada pendirian yang berteraskan prinsip Islam.

“Biar berprinsip dalam setiap tindakan dan keputusan. Jangan kita takut pada kebenaran. Ia adalah sahabat yang setia walaupun sukar.

“Ketegasan adalah kunci untuk kita dihormati. Jangan gentar untuk bersikap tegas, walaupun sukar. Kebenaran mungkin disembunyikan, tetapi ia tidak pernah hilang,” tegasnya.

Katanya lagi, DMPM yakin bahawa garis panduan sumbangan kepada sekolah adalah dari KPM dan bukannya dari parti.

Oleh itu, ujar beliau, Fadhlina seharusnya mempertahankan peraturan sedia ada dan menjaga sebaiknya dasar pendidikan dan warga pendidik di Malaysia.

“Tidak kira siapa pun Menteri Pendidikan sama ada PAS, DAP, PKR dan lain-lain lagi semuanya perlu bertanggungjawab menjaga dasar pendidikan dan warganya demi kepentingan generasi masa depan.

“Sewajarnya kita bersama – sama terus mempertahankan tanpa rasa takut. Hidup dengan prinsip Islam adalah hidup dengan tujuan.

“Peganglah prinsipmu dengan kuat tanpa bimbang,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

Ulasan