PAS serlah acuan arah pembentukan Malaysia Sejahtera



PAS serlah acuan arah pembentukan Malaysia Sejahtera

Hari Keluarga PAS Pusat 2024
July 27, 2024


KUALA LUMPUR: Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga (LPIKK) PAS Pusat dengan kerjasama Badan Perhubungan PAS Negeri Perak telah menganjurkan Hari Keluarga PAS melibatkan Parlimen Bukit Gantang dan Kuala Kangsar, hari ini dan esok.

Pengerusi LPIKK PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, program tersebut bertujuan meluas dan mengukuhkan lagi kekeluargaan dalam PAS, seterusnya memasyarakatkan lagi PAS kepada orang ramai, sesuai dengan usaha dakwahnya.

Sehubungan itu maklumnya, pelbagai program di lapangan telah diatur sebagai menterjemahkan bahawa tarbiyah yang membentuk kemantapan individu melahirkan keluarga sejahtera dan seterusnya mewujudkan masyarakat sejahtera.

“Dengan tarbiyah lahirnya suami yang qawwam, isteri yang solehah dan keluarga yang sejahtera,” ujarnya mengungkap impian tersebut menjadi rantaian dakwah dicetus dan disemai PAS dalam masyarakat ketika berucap pada perasmian program tersebut.

Jelas beliau, dalam usaha itu terdapat banyak perancangan diatur seperti antara lain program Perkahwinan Perdana, khidmat sokongan keluarga, Akademi Keluarga Sejahtera, program Tambatan Hati dan banyak lagi.

“Agar nanti terbentuknya generasi Rabbani hingga wujudnya keluarga haraki yang membangunkan cara hidup Islam. Hingga keluarga (ahli dan pimpinan) PAS, menjadi keluarga yang ada qudwah hasanah (kepada semua pihak).

“Serta dapat melahirkan masyarakat, seterusnya Malaysia Sejahtera dengan dipimpin oleh ulama yang meletakkan tauhid kepada Allah,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang pada majlis di Kompleks PAS Kawasan Bukit Gantang, hari ini.

Siti Zailah turut berkongsi betapa tarikan kepada PAS ketika ini begitu memberangsangkan sehingga beliau ditemui individu yang serta-serta merta meminta sebanyak 30 borang PAS dan mengisi untuk dirinya ketika ditemui di Bukit Gantang, awal pagi tadi.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyempurnakan program tersebut dengan pendekatan kali ini para pimpinan PAS akan bersama keluarga angkat mereka selama dua hari ini di 36 Unit Daerah Mengundi (UDM) dalam kedua-dua Parlimen.

Dalam ucapannya beliau menekannya mengenai pembentukan keluarga yang dikemukakan Allah di dalam al-Quran antaranya saling mengenali dan penyatuan akidah lebih kuat daripada keturunan sehingga setiap orang disatukan kembali di syurga nanti.

Juga sentuhnya iktibar dari keluarga para Nabi dan tokoh di dalam al-Quran khususnya peranan wanita sebagai ibu dalam menentukan iman atau kufurnya anak-anaknya dan sebagai isteri selaku tulang belakang atau tidak kepada perjuangan suami.

Selepas sesi tersebut, para pimpinan PAS dan keluarga mereka akan bersama keluarga angkat akan ke kediaman masing-masing, seterusnya menyertai program Memasyarakatkan PAS yang telah dijadualkan.

Antaranya Ziarah Kasih Sayang, Sukan Bersama Masyarakat, Konvoi Keliling Kampung, Gotong-royong Masjid atau Surau, Ziarah Al-Malak, Tahnik dan Cukur Bayi, Munajat Muslimah dan Ceramah Perdana.

Manakala esok akan diadakan Ramah Mesra, Demo Masakan, Kaunter Kesihatan dan kemuncaknya Kenduri Rakyat di mana semua acara adalah secara berasingan di semua UDM dan Parlimen tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin dalam pada itu berkata, program bersifat memasyarakatkan PAS atau membawa turun PAS kepada masyarakat seperti ini telah membuktikan kegemilangannya dengan kedudukan PAS di persada politik masa kini.

Jelasnya, daripada hanya mentadbir dua negeri, kini PAS sudah memerintah di empat negeri di mana juga daripada 74 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), seramai 43 daripadanya adalah PAS, selain hampir menang di beberapa negeri lain.

Ahli Parlimen Kota Bharu ini berkata, terdapat tiga NBP iaitu ‘Negeri Belum PN’ iaitu Perak, Selangor dan Pahang di mana kedudukan kerusi menunjukkan potensi untuk PAS-PN memenanginya pada PRU16 nanti.

“Sebab itu kita atur Muktamar PAS Pusat yang lalu ke Selangor untuk goncang semangat untuk menang di Selangor nanti. Kita bawa Hari Keluarga PAS Pusat ini ke Perak, untuk kita goncang semangat supaya menang juga di negeri ini PRU16 nanti.

“Kita juga bawa Muktamar PAS Pusat tahun ini ke Pahang untuk kita goncang semangat bagi mengambil alih pentadbiran negeri Pahang pada PRU16 nanti,” ujarnya menampakkan perkembangan politik tersebut. – HARAKAHDAILY 27/7/2024

Ulasan