Peranan pemimpin pasak Islam dalam hidup rakyat

 

Peranan pemimpin pasak Islam dalam hidup rakyat
July 28, 2024


BUKIT GANTANG: Pemimpin mempunyai tanggungjawab sangat besar membawa umat kepada Allah SWT menerusi usaha menegakkan akidah, ibadah dan syariah melalui peranan kekhalifahan dalam memakmurkan bumi menuju kejayaan hari akhirat.

Hari Keluarga PAS Pusat sehubungan itu bukanlah semata-mata aktiviti program, tetapi juga usaha pembentukan dan pembangunan insan, masyarakat dan negara untuk diurus tadbir serta dihidupkan mengikut tuntutan Islam diwariskan Rasulullah SAW.

Siang yang melabuhkan tirai selepas majlis perasmian disempurnakan dan para pimpinan PAS pulang ke kediaman keluarga angkat, aktiviti malam pun bermula dengan solat Maghrib berjemaah di masjid, surau dan markas di lokasi masing-masing.

Selain mengadakan majlis bacaan surah Yaasiin dan tahlil sebagai mengenang serta menghadiahkan pahala kepada arwah kaum keluarga yang telah pergi, pengisian tazkirah oleh pimpinan juga dibuat bagi membugarkan pembangunan rohani.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu antara diberi peluang menyampaikan tazkirah selepas solat Maghrib berjemaah dilangsungkan di Markas PAS Bersama Bukit Gantang, di sini.

Dalam kupasannya, beliau meyakinkan para hadirin pendengar bahawa Islam adalah panduan kehidupan dan bernegara sebagaimana ianya kuat diperjuangkan oleh PAS, namun terdapat gerakan daripada parti-parti lain yang mahu menggagalkannya.

Menurut beliau, selain dikenakan sekatan dalam pelbagai bentuk, lawan politik juga bertindak menghasut menerusi dakyah mengelirukan serta persepsi salah antaranya cuba memomokkan konon PAS ini parti yang tidak tahu mentadbir urus kerajaan.


Bagaimanapun ujarnya, pemerintahan PAS yang teguh istiqamah menjulang Islam berjaya menyentuh hati rakyat untuk melihat hakikat dan perubahan jauh lebih baik dari pentadbiran kerajaan oleh parti-parti politik lain.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula turut menjayakan program seumpama dan memenuhi malam beliau dengan pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat di Kampung Pak Darus, di sini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu keesokannya menyertai kemeriahan pagi selepas solat Subuh berjemaah dengan sarapan pagi bersama penduduk setempat yang rata-rata warga emas di warung kopi di kampung tersebut menikmati pelbagai cucur.

Rata-rata penduduk yang bersama beliau juga tidak melepaskan kesempatan bertanya dan menyuarakan pelbagai isu berkaitan kebajikan rakyat serta perkembangan politik dan kebimbangan terhadap tadbir urus Kerajaan Pusat ketika ini.

Di KUALA KANGSAR, program munajat yang diadakan telah disusuli dengan kempen Solat Subuh Macam Jumaat melibatkan beberapa pimpinan antaranya Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri di Masjid Sayong Lembah, di sini.

Kempen yang semakin menjadi fenomena dalam negara itu menyaksikan ramai penduduk daripada pelbagai peringkat umur hadir menunaikan fardu Subuh berjemaah, seterusnya bersama mengikuti kuliah Subuh di masjid tersebut.

Pensyarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ustaz Nur Ahmad Wafiy Noor Azri selaku pengkuliah pada Subuh tersebut telah menyampaikan kuliah yang mengupas mengenai sirah perjuangan dakwah Rasulullah SAW.

Ustaz Hafez yang juga ADUN Manjoi turut disertai Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Muhamamd Zulfadli Zainal iaitu juga ADUN Slim selepas itu menyertai sarapan dan bermesra bersama penduduk setempat di situ. – HARAKAHDAILY 28/7/2024

Ulasan