Politikus PH-BN jadikan negara tidak tentu arah





Politikus PH-BN jadikan negara tidak tentu arah
July 28, 2024

BUKIT GANTANG: Sikap politikus yang gagal mempamerkan karakter serta akhlak baik menjadikan politik dianggap ‘kotor’ oleh sebahagian rakyat, kata Ketua Pemuda Pusat, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.


Menurut beliau, sikap tidak menepati janji, berbohong serta mengulangi janji yang sama tetapi tidak menunaikannya membuatkan rakyat jemu dan hilang kepercayaan.

“Sehingga ada pihak yang buat cerita seloka, kalau ahli politik masuk tandas, perlu bayar lebih sebab ‘kencing kuat’. Walaupun cerita seloka tetapi mesej itu jelas, pandangan rakyat terhadap ahli politik,” ujarnya.

Afnan berkata demikian pada majlis ceramah perdana sempena Hari Keluarga PAS Pusat 2024 di Markas PAS Kawasan Bukit Gantang, di sini malam tadi.

Menurutnya lagi, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia apabila Perdana Menteri dicemuh, dipersenda dan diperolok menerusi lagu, seloka dan lain-lain.

Beliau menjelaskan, persepsi buruk rakyat terhadap politik boleh berubah sekiranya pemimpin politik yang menerajui negara atau negeri bersikap adil dalam pentadbiran.

“Sebagai Perdana Menteri termasuk Menteri-menteri, perlu menjalankan tanggungjawab pada landasan yang betul. Soal perbezaan fahaman politik kena buang ke tepi. Habis pilihan raya, selesai.

“Bila kerajaan sudah terbentuk maka perlu bersama-sama sepakat dan memberi pandangan untuk kebaikan rakyat. Tetapi sekarang, amal politik dendam. Guna agensi kerajaan kenakan pihak pembangkang.

“Menteri boleh keluarkan arahan walaupun bukan bidang kuasanya,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Seperkara lagi kata Afnan, pemimpin Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang menerajui negara sekarang juga dilihat bercakaran sesama sendiri dan menjadikan politik tidak tentu arah.

“Apabila politik tak tentu arah, tiada hala tuju, ekonomi jadi tidak stabil, nilai ringgit jatuh, harga barang semakin mahal. Bila dasar tak jelas, pelabur pun hilang keyakinan untuk melabur di negara kita,” tegas beliau lagi.

Lebih mengecewakan katanya, apabila DAP ‘menghentam’ Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita PKR, tiada sesiapapun dari kalangan pakatan itu bangun mempertahankan menteri tersebut.

“Parti besar walaupun tiada jawatan dalam kabinet tetapi boleh arah Menteri ubah peraturan yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Abang Besar dilihat hendak mengusai kerajaan. Itu antara sebab PAS putus hubungan dengan DAP sedikit masa lalu,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 28/7/2024

Ulasan