Protes anti kuota di Bangladesh: Apa yang akan berlaku seterusnya?



Protes anti kuota di Bangladesh: Apa yang akan berlaku seterusnya?
Oleh AGENSI - Julai 20, 2024 @ 12:13am
DHAKA: Sekatan perkhidmatan internet pada Jumaat menyebabkan Bangladesh kini terputus hubungan dengan dunia, ketika negara dengan lebih 170 juta penduduk itu dilanda keganasan selepas beberapa hari protes dan pertempuran berlaku antara pelajar dan anggota pasukan keselamatan.

Pihak kerajaan kini melarang perhimpunan awam di ibu kota Dhaka, di mana bangunan dibakar di tengah-tengah pertempuran yang berlaku pada Khamis.

Penunjuk perasaan terdiri golongan pelajar yang marah dengan dasar kuota kerja oleh kerajaan cuba menutup rangkaian pengangkutan dan perniagaan susulan tindakan pihak berkuasa menutup semua universiti.

Sekurang-kurangnya 39 orang dilaporkan terbunuh setakat ini dalam protes itu.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Sekurang-kurangnya 39 orang dilaporkan terbunuh setakat ini dalam protes anti kuota di Bangladesh. - Foto AGENSI



Kekecewaan pelajar tertumpu pada dasar kerajaan yang merangkumi peruntukan 30 peratus pekerjaan untuk ahli keluarga veteran dari perang kemerdekaan 1971 dari Pakistan, yang menurut pengkritik disalahgunakan.


Sistem berkenaan menetapkan 56 peratus daripada jawatan sektor awam diperuntukkan kepada demografi dan kelas tertentu, termasuk 30 peratus bagi anggota keluarga pejuang dalam perang kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971.

Ia kemudian mencetuskan kemarahan dalam kalangan pelajar yang menghadapi isu pengangguran, dengan hampir 32 juta anak muda Bangladesh tidak bekerja atau belajar.

Perdana Menteri, Sheikh Hasina berusaha meyakinkan pelajar dengan memberitahu mereka untuk mempercayai mahkamah kerana kes terhadap sistem kuota sedang dibicarakan.

Namun, beliau juga berikrar untuk mengkritik mereka yang bertanggungjawab atas keganasan dengan berkata dalam ucapan di televisyen pada Rabu bahawa jawatankuasa kehakiman akan menyiasat kekacauan yang tercetus itu.

Penunjuk perasaan berkata, sistem kuota mengecualikan pencari kerja baharu dan memihak kepada penyokong Hasina, yang juga anggota parti mengetuai pergerakan berpisah dari Pakistan.

Kumpulan pelajar mahu sistem terbabit digantikan dengan kaedah berasaskan merit.

Pekerjaan di sektor kerajaan mendapat permintaan yang tinggi di Bangladesh lebih-lebih lagi ketika negara terbabit bergelut dengan pemulihan ekonomi selepas pandemik dan prestasi pertumbuhan kukuh selama bertahun-tahun direkodkan sebelumnya.

Dalam pada itu, ketika tindakan menyekat sistem telekomunikasi dilakukan kerajaan pada Jumaat, terdapat juga kejadian serangan pengodam ke atas laman web kerajaan.

Apa yang berlaku di Bangladesh pada Khamis?

Protes yang bermula minggu lalu menyaksikan keganasan pada awal minggu ini, selepas penunjuk perasaan terdiri golongan pelajar diserang oleh aktivis Liga Chhatra Bangladesh (BCL) iaitu sayap pelajar Parti Liga Awami pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Oleh kerana penunjuk perasaan enggan berundur, kerajaan pada Rabu mengarahkan penutupan semua universiti-pusat pergerakan menentang kuota. Bagaimanapun, pelajar enggan mengosongkan kampus, sekali gus menjadikan keadaan lebih tegang.

Pada Khamis, ketegangan yang berlaku antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan menyebabkan keganasan berlaku sehingga mengorbankan nyawa.

Ribuan pelajar bertempur dengan pasukan polis yang dilengkapi senjata di Dhaka.

Ketika pertempuran dengan pihak berkuasa, seramai 11 orang maut termasuk seorang pemandu bas dan seorang pelajar, kata sumber polis memberitahu Al Jazeera.

Agensi berita AFP melaporkan, seramai 39 orang terbunuh pada minggu ini dengan 32 daripadanya terbunuh pada Khamis sahaja.

Laporan media tempatan juga memaklumkan, sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh setakat Khamis. Bagaimanapun, Al Jazeera tidak dapat mengesahkan angka berkenaan setakat ini.

Dalam protes itu, penunjuk perasaan membakar bangunan, capaian internet lumpuh dan laman web bank turut digodam. Pihak berkuasa kemudian memotong perkhidmatan mudah alih dan internet untuk meredakan kekacauan pada Khamis.

Menurut badan pemerhati NetBlocks, negara Asia Selatan itu menghadapi sekatan internet yang lengkap di seluruh negara selama lebih daripada tempoh 16 jam.

Pihak polis juga mengeluarkan kenyataan dengan menuduh penunjuk perasaan membakar serta merosakkan bangunan, termasuk pejabat polis dan kerajaan.

Ia termasuk ibu pejabat penyiar negara, Bangladesh Television (BTW) di Dhaka.

Laman web organisasi berita utama termasuk The Daily Star dan Dhaka Tribune juga kekal di luar talian.

Selain itu, beberapa laman web rasmi di Bangladesh digodam oleh kumpulan yang dikenali 'THE R3SISTANC3'.

Laman web yang digodam termasuk laman web bank pusat, pejabat perdana menteri dan polis.

Ulasan