Ramai ADUN Kerajaan Perpaduan bakal lompat sertai Pas?





Ramai ADUN Kerajaan Perpaduan bakal lompat sertai Pas?
PAS membayangkan ada wakil rakyat dari parti-parti Kerajaan Perpaduan bakal menyertai mereka tidak lama lagi.
Oleh MUSTAQIM MOHAMED
18 Julai 2024, 7:30 am

KOTA BHARU: Pas membayangkan ada wakil rakyat dari parti-parti Kerajaan Perpaduan bakal menyertai mereka tidak lama lagi.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ia susulan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis sebagai ahli parti itu oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kelmarin.

“Mungkin ada seorang atau dua orang lagi wakil rakyat dari parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan telah menyertai Pas tetapi belum diisytiharkan.

“Kita tunggu dan te­ngoklah nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kilang paip, HDPE Kel Intaaj Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Mengulas pengumuman Takiyuddin itu, Mohd. Amar menganggapnya sebagai satu perkembangan baik untuk Perikatan Nasional (PN) dan sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau isu berbangkit.

“Sebenarnya beliau (Muhammad Jailani) sudah lama sertai Pas. Cuma kita tidak isytihar atas faktor taktikal dan setakat yang saya faham, tiada masalah kerana ia berlaku pada tahun lepas, iaitu sebulan sebelum pindaan Perlembagaan Negeri Melaka dibuat.

“Jadi, sepatutnya tidak berbangkit soal beliau lompat parti atau tidak dan perlu mengosongkan kerusi atau tidak,” ujarnya.

Dalam perkemba­ngan lain, beliau berkata, faktor usia calon sama ada muda atau tua bukan perkara utama yang boleh menjamin kemenangan mana-mana parti bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri nanti. – UTUSAN

Ulasan