Sumbangan hasil arak dilarang di institusi pendidikan KPM
July 22, 2024
PUTRAJAYA: Sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah dan minuman keras (arak) dan seumpamanya adalah dilarang di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengingatkan agar pentadbir di institusi pendidikan diingatkan untuk mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan dengan penganjuran program dan penerimaan sumbangan
“Pihak KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.
“Namun, ini perlu dilaksanakan berdasarkan kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bahagian 3 Tahun 2018 yang melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya; yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” kata kenyataan KPM, hari ini
Kenyataan KPM itu adalah susulan pihaknya mengambil serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti yang dilaporkan media tempatan baru-baru ini.
“Isu ini sudah berada dalam perhatian KPM dan sedang menjalankan siasatan lanjut,” ujar kenyataan itu lagi.
Sehubungan dengan itu, KPM berkata pihaknya sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda.
“(Ia direalisasikan) Dengan mengadakan program kesedaran dan pendidikan pencegahan yang dianjurkan di sekoah bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid-murid,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024
Ulasan
Catat Ulasan