Usul gantung MP Machang cacat – Ronald Kiandee

Usul gantung MP Machang cacat – Ronald Kiandee
July 18, 2024

Datuk Seri Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR: Usul untuk menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ada kecacatan dan tidak wajar diteruskan.

Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) berkata, dalam pertuduhan terhadap Wan Ronald Kiandee jelas menyatakan ia disebabkan Ahli Parlimen Machang itu menyebut kelakuan atau sifat siapa-siapa pegawai kerajaan.

Tambahnya, individu yang disebut itu adalah kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bukan termasuk dalam kakitangan kerajaan.

Jelas Ronald, Peraturan Mesyuarat 36 (9) ia tidak mendefinisi siapa sebenarnya pegawai kerajaan, kerana itu ia perlu dilihat kepada Perlembagaan Persekutuan Perkara 132 untuk mengenalpasti siapa pegawai kerajaan.

“Sebab itu penting untuk kita lihat tuduhan terhadap Machang ini. Pegawai KWSP sama ada termaktub di dalam tujuh suruhanjaya seperti yang didefinisikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Itu yang Tan Sri kena lihat.

“Kita lihat KWSP ditubuh di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 452. Seksyen 3 Akta 452 menyatakan KWSP satu badan korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum usul berkenaan dibentangkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya, usul tersebut perlu ditarik balik oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kerana tuduhan itu ada kecacatan.

“Kalau ada usul dari eksekutif Tan Sri kena nilai teliti. Kalau defective tolak balik Tan Sri. Tan Sri mesti tengok Tan Sri adalah Speaker yang adil. Apabila duduk sana Tan Sri kena buka ‘baju politik’ Tan Sri.

“Semua tindakan dan usul mesti dilihat melalui peraturan mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan. Tak boleh bulldoze,” katanya yang pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

Ulasan