1,810 kediaman di Perlis terlibat dalam KPKM-6
August 29, 2024
KANGAR: Sebanyak 1,810 tempat kediaman di Perlis akan terlibat dalam Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024.
Kajian ini dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, menyeru penduduk negeri ini untuk memberikan kerjasama baik kepada penemu bual yang akan berada di lapangan.
Katanya, kerjasama itu penting untuk memastikan objektif kajian tersebut, iaitu memperoleh data yang tepat, terkini dan komprehensif mengenai penduduk dan kehidupan keluarga, dapat dicapai.
“Sebanyak 37,550 tempat kediaman akan dilawati sepanjang tempoh KPKM-6 di seluruh negara, termasuk 1,810 tempat kediaman di negeri Perlis.
“Maklumat yang dihasilkan oleh kajian ini mampu menjadi input penting kepada kerajaan negeri dalam pembentukan dasar, program dan aktiviti yang lebih responsif dan bertepatan dengan keperluan rakyat demi kesejahteraan dan kemakmuran semua,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Penyelidikan Kependudukan dan Keluarga LPPKN, Adzmel Mahmud, dan Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim.
KPKM-6 2024 yang bermula pada 15 Julai lepas dan akan berlangsung sehingga 31 Disember nanti, bertujuan menyediakan data terkini serta siri masa berkaitan kependudukan, kekeluargaan, kesihatan reproduktif, dan sosio-ekonomi penduduk Malaysia.
Data ini akan digunakan sebagai input dan statistik berasaskan bukti oleh kerajaan dalam pembangunan dasar, inisiatif, dan program pada masa akan datang.
“Antara soalan yang akan diajukan kepada responden termasuk latar belakang keluarga, pekerjaan dan pendapatan, perkahwinan, kesuburan, perancang keluarga, hubungan keluarga.
“(Juga) sosial dan seksual remaja, bantuan kepada warga emas, pembujangan, kesihatan mental, kesunyian, dan sokongan sosial,” tambahnya.
Kajian tersebut bertepatan dengan slogan KPKM-6 iaitu ‘Suara Keluarga, Masa Depan Negara’ dan diharap dapat memberikan panduan yang berharga untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. HARAKAHDAILY 29/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan