Annuar nafi Muafakat Nasional Sabah dibubar

 

a
Annuar nafi Muafakat Nasional Sabah dibubar
Diterbitkan: Aug 30, 2024 12:37 PM

Annuar Musa menyangkal dakwaan Muafakat Nasional (MN) Sabah sudah dibubarkan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, presiden MN itu membayangkan dia merancang untuk berjumpa dengan Muafakat Nasional Sabah esok untuk mengendalikan isu-isu berbangkit secara langsung.

Ketika diminta mengesahkan jika MN Sabah masih aktif, dia menjawab ringkas: “Ya”.

Semalam, media melaporkan MN Sabah telah dibubarkan selepas kesemua 30 ahli jawatankuasanya keluar dari NGO itu atas alasan hilang kepercayaan kepada Annuar dan barisan kepimpinan.

Setiausaha eksekutif NGO itu, Mohd Irwan Rizal pula hari ini mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan MN Sabah masih kekal aktif.

Dia berkata MN Sabah akan kekal bergerak seperti biasa dan pada masa sama pihak sekretariat menerima peletakan jawatan oleh 30 ahli jawatankuasanya.

“Oleh kerana jawatankuasa tersebut masih berstatus penaja dan sebahagian yang terlibat masih belum disahkan pelantikannya, maka ia boleh diterima tanpa sebarang masalah,” katanya.

Dia juga memaklumkan jawatankuasa protem MN Sabah pada 3 Ogos lalu telah mencadangkan MN menjadi parti politik dengan nama Parti Muafakat Nasional, dengan Annuar sebagai ketuanya.

Namun Irwan berkata MN akan terus bergerak sebagai NGO dan bekerjasama dengan parti politik yang berkongsi matlamat, prinsip dan aspirasi yang sama.

Ulasan