Apabila khabar angin melanda pasukan PDRM
Oleh Teon Eg
15 Ogos 2024, 7:07 am
MINGGU lalu kecoh mengenai dakwaan bakal berlaku rombakan besar-besaran dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). Gosip rombakan yang tersebar itu pula bukan biasa-biasa. Sebaliknya dikatakan ada yang akan dipindah keluar daripada PDRM.
Sebagai sebuah organisasi penguat kuasa paling gah berbanding agensi lain tentu sahaja apa-apa pergerakan dan pertukaran dalam pasukan itu mendapat perhatian, hatta hanya khabar angin.
Lebih-lebih lagi apabila nama-nama yang dikaitkan membabitkan figura diminati netizen dan masyarakat iaitu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. Seorang lagi tokoh yang dikaitkan dalam khabar angin itu adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yang membawa imej versatile.
Khabar angin sepoi-sepoi itu turut mengaitkan dengan persaraan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Namun sekejap sahaja berita tersebut dimuat naik, 1001 komen, kritikan dan cakap-cakap muncul. Majoritinya melahirkan rasa kecewa. Lebih-lebih lagi Ayob dan Shuhaily selama ini dianggap pelapis kepada organisasi tersebut.
Ayob yang pernah menerajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Polis Johor, anak kelahiran Kedah itu banyak kali menggegar syurga penjenayah.
Ketika era itu, terdapat kalangan warga polis sendiri terpaksa mengubah rentak agar selari dengan sikap tidak berkompromi Ayob membabitkan isu-isu jenayah dan salah laku anak buahnya.
Begitu pula dengan Shuhaily. Walaupun dianggap tidak mesra media, bengis dan tidak boleh dibawa berbincang, namun di sebalik ketidaksenangan personaliti anak kepada bekas pegawai polis yang dilahirkan di Kuala Lumpur itu membuatkan PDRM nampak gah dengan penampilan beliau.
Pemerhati pasukan keselamatan dan ada kalangan warga PDRM mengakui, Shuhaily memiliki kelebihan dalam pasukan khususnya dari aspek pengetahuan, ketangkasan, berterus terang dan pengalaman berkaitan keselamatan.
Serba-sedikit mengenai Shuhaily beliau pernah diamanahkan membuka Pejabat Atasye PDRM di Washington DC, AS sebelum pulang ke tanah air dan diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Justeru, apabila tersebar khabar Ayob dan Shuhaily bakal beralih ‘bumbung’ kecohlah warga PDRM dan peminat dua personaliti PDRM itu.
Biarpun rombakan itu hanya khabar angin dan telah dinafikan oleh Ketua Polis Negara, tetapi tiupan masih belum reda hingga masih ada yang tertanya-tanya akan rasionalnya.
Malah terselit suara-suara yang mahu mengenali lebih dekat individu-individu yang dikaitkan dengan ‘rombakan’ itu. Siapakah mereka dan apakah sejarah dan sumbangan dalam PDRM.
Jika Ayob dan Shuhaily bukan pilihan sebagai pelapis dalam kepimpinan PDRM siapakah yang lebih baik ketokohannya daripada mereka?
Tetapi jika berdasarkan sejarah, Pengarah JSJ Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan pernah dihantar memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Penjara.
Namun khabar angin itu kekal sebagai khabar angin dengan setakat ini tidak ada apa-apa perubahan dalam kepimpinan PDRM dan tiga tokoh utama kekal dengan jawatan masing-masing dan kekal berkhidmat memastikan keselamatan negara terkawal di sebalik segala ketidaktentuan isu keselamatan di seluruh dunia.
Semoga PDRM terus aman dan harmoni.
Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan