BN menang PRK di Kelantan, namun tewas PRU



BN menang PRK di Kelantan, namun tewas PRU
August 21, 2024

Share
Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU: Bilik Operasi Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian tidak boleh membayar pengundi bagi mengekalkan dasar kempen bersih dan patuh peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Tan Sri Annuar Musa berkata, PN tewas di kubu BN kerana calon BN lebih dikenali serta strategi BN tanpa PH dan tanpa DAP.

Selain itu PN memilih tidak mengamalkan politik rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.

“PN juga menolak untuk menyalahgunakan aset dan jentera kerajaan Kelantan. Ini amat berbeza dengan BN yang memanfaatkan sepenuhnya aset, peruntukan dan jentera agensi serta jabatan Kerajaan Persekutuan.

“Berdasar pengalaman mengendalikan jentera Pilihan Raya BN pemerhatian saya jumlah yang dibelanjakan PN untuk PRK tidak sampai 10 peratus yang dibelanjakan BN pada PRK Nenggiri.

“Sukar untuk dipercayai operasi PN bergantung sepenuhnya kepada semangat kesukarelaan, pengorbanan individu, sumbangan dan infak ahli-ahli dan penyokong,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya juga kemenangan PN dari sudut moral kerana istiqamah menjaga integriti dengan mengekalkan kempen bersih, bebas rasuah dan tidak menyalah gunakan kuasa.

Kata beliau dalam situasi sedemikian PN berterima kasih kepada hampir 6,000 pengundi setia Nenggiri yang istiqamah memilih calon PN.

Bagaimanapun beliau berkata, sejarah PRK di Kelantan membuktikan BN sering menang PRK namun akhirnya mereka tewas semula pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sebagai contoh BN menang PRK Semerak 1997 tetapi tewas PRU 1999. BN menang PRK Pengkalan Pasir pada 2005 tapi tewas PRU 2008.

“BN menang PRK Pengkalan Kubor pada 2014 tetapi BN tewas kemudiannya dalam PRU 2018. Ia juga berlaku di PRK Kuala Kangsar dan PRK Sg Besar sebelum PRU14. Menang pada PRK tapi tewas di PRU,” katanya.

Menurutnya juga PRK sentiasa memberi kelebihan kepada BN kerana sumber kewangan yang kuat dan jentera kerajaan banyak.

Kata beliau biar pun PN tewas di PRK Nenggiri kali ini namun PRU ke-16 belum tentu.

“Adakah sejarah akan berulang Kembali? Bagi yang menang tentunya disambut dengan kegembiraan. Bagi yang tewas, tentu ada pengajaran yang amat berharga,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/8/2024

Ulasan