Dunia kini makin tenat dengan pelbagai fitnah
August 30, 2024
Mohd Khuzaini Ab Rahman
KUALA TERENGGANU: Dunia kini semakin tenat dengan pelbagai fitnah telah ditaburkan bagi menjatuhkan serta merendahkan martabat seseorang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Khuzaini Ab Rahman.
Menurutnya, fitnah ini juga berleluasa dengan cara yang lebih mudah melalui kecanggihan teknologi pada masa kini.
Katanya, kalau dulu fitnah akan disebarkan dengan cara mulut ke mulut, namun kini segala fitnah dapat disebarkan dalam sekelip mata dengan hanya melakukan posting di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu itu, menambah ramai dalam kalangan umat Islam sedia maklum bahawa agama Islam sangat menegah perbuatan fitnah-memfitnah.
Beliau berkata, tujuan perbuatan itu ditegah adalah untuk menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat khususnya sesama Islam.
Menurutnya lagi, perbuatan fitnah-memfitnah juga sangat dibenci oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang disebutkan di dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)”.
Namun begitu, ujarnya dunia yang semakin baharu hari ini menjadikan budaya menabur fitnah lebih cepat dan mudah berlaku lantaran medium komunikasi yang pelbagai khususnya media elektronik yang menjadikan dunia hari ini tanpa sempadan.
“Walaupun begitu, sebagai seorang manusia yang mampu berfikir baik buruk, seharusnya kita hentikan dan hindari diri kita dari tergolong dalam golongan pemfitnah ini.
“Sekiranya kita mendengarkan sesuatu berita, janganlah pula kita menyambung cerita itu ke orang lain,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Justeru, tambahnya hentikan segala fitnah yang dijaja supaya usaha dalam menjaga keharmonian masyarakat dipandang Allah SWT.
“Akhir kata, janganlah pernah kita merasa bangga di atas fitnah yang kita lontarkan, kerana tanpa kita sedari fitnah yang dibuat itu telah berjaya menyebabkan lerainya sesuatu hubungan silaturahim. Sentiasalah beringat bahawa Allah SWT itu Maha Melihat dan Maha Adil.
“Perbanyakkanlah bertaubat dan marilah bersama memperbaiki diri agar menjadi seorang insan yang hidupnya diredhai oleh Allah SWT. Wallahua’lam,” ujarnya menerusi slot Muhasabah Diri (Mudir). – HARAKAHDAILY 30/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan