Guan Eng tak perlu adu domba rakyat Terengganu



Guan Eng tak perlu adu domba rakyat Terengganu
August 6, 2024



KUALA LUMPUR: “Menangguk di air keruh dengan memutar-belit kebenaran serta membakar sesuatu isu itu memang kepakaran pemimpin DAP, Lim Guan Eng.”

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata demikian, susulan dakwaan Guan Eng terhadap tindakan kerajaan negeri Terengganu yang dipimpin PAS menguatkuasakan larangan persembahan membabitkan artis wanita di tokong Kwan Tee Than di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Guan Eng mendakwa bahawa ‘PAS berbohong bila berjanji tidak akan campur tangan dalam urusan bukan Islam’ dalam isu tindakan kerajaan Terengganu tersebut.

Menurut Roslan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan & Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah telah pun membuat penjelasan bahawa kerajaan negeri tidak pernah menghalang mana-mana pihak mengadakan persembahan hiburan tetapi perlulah mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Memandangkan acara yang mahu diadakan di tokong berkenaan dicadang dibuat di khemah terbuka yang boleh dilihat oleh orang yang lalu lalang dari luar, maka ia tidak lagi dikira kawasan tertutup justeru larangan dalam garis panduan ini terpakai.

“Hasrat kerajaan negeri adalah untuk memelihara keharmonian, menjaga kepentingan rakyat majoriti Islam di negerinya selain membela kepentingan masyarakat minoriti. Tak perlu provokasi dari Guan Eng pun, ini isu rakyat Terengganu,” jelas Roslan dalam media sosial miliknya, hari ini.

Tambah beliau, jika pihak tokong menganjurkan persembahan mereka di dalam dewan tertutup atau mana-mana lokasi yang tertutup, tidak ada sebab kebenaran tidak diberikan.

Namun ujarnya, Guan Eng mendakwa masyarakat bukan-Islam didiskriminasi, sedangkan diskriminasi bermakna langsung tidak dibenarkan.

“Kenapa perlu tabur fitnah dan melagakan antara kaum di Terengganu, (yang mana) negeri yang DAP tiada kerusi pun?

“Di Pulau Pinang Julai lalu promosi George Town Festival 2024 langsung tidak memuatkan budaya masyarakat peribumi Melayu.

“Yang ditampilkan hanya opera Cina dan muzik klasik India sehingga ada sejarawan yang menuduh kerajaan negeri terlibat dalam penghapusan warisan orang-orang Melayu, itu baru serius dan diskriminasi, kenapa Guan Eng dan Teresa Kok tidak berkokok? (Di Pulau Pinang PAS ada 2 kerusi Parlimen dan 7 ADUN),” jelas Roslan.

Dalam pada itu, katanya sesungguhnya masyarakat berbangsa Melayu dan Cina di Terengganu telah hidup ratusan tahun dengan harmoni dan aman damai.

“Apa sahaja kerumitan dan masalah diurus dengan cermat dan kasih sayang.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu, isu ini dapat selesai dengan baik tanpa campur tangan mana-mana pihak ekstremis atau rasis, pengadu domba yang tiada tapak di Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2024

Ulasan