Guna Akta Hasutan terhadap Muhyiddin dikecam


Guna Akta Hasutan terhadap Muhyiddin dikecam
August 27, 2024

Orang ramai yang hadir di Mahkamah Sesyen Gua Musang bagi mengikuti perbicaraan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

GUA MUSANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin minta dibicarakan atas pertuduhan menghasut terhadapnya di Mahkamah Sesyen Gua Musang hari ini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana melakukan hasutan pada ucapannya sempena ceramah umum ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri di Felda Perasu 14 Ogos lepas.

Prosiding kes itu dikendalikan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Baru-baru ini, Lawyers for Liberty (LFL) mengecam penggunaan Akta Hasutan terhadap Muhyiddin selepas polis menyiasat Pengerusi PN berhubung ucapannya pada kempen PRK itu.

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, kerajaan pimpinan PH kini telah melampaui batas dan melarang sebarang penelitian terhadap pelepasan kuasa perlembagaan oleh raja atau raja-raja.

“Ini pada asasnya bertentangan dengan tadbir urus demokrasi. Tidak kira kebenaran dakwaan Muhyiddin, tidak ada justifikasi untuk penggunaan Akta Hasutan,” ujarnya dipetik sebuah portal berita.

Menurutnya, undang-undang zaman kolonial kuno itu tidak mempunyai tempat dalam negara yang berperlembagaan dan demokratik.

Manakala Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada asas mengenakan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap presiden parti itu.

Menurutnya ucapan Muhyiddin disampaikan secara beralas dan tidak mempunyai unsur provokasi terhadap raja-raja Melayu.

Kata beliau Muhyiddin pada ucapannya secara jelas menyebut bahawa beliau tidak mahu mengatakan apa-apa perkara buruk terhadap raja.

Faizal juga berkata, perdana menteri dan ramai lagi pemimpin PH lantang menentang Akta Hasutan 1948 ketika berada di saf pembangkang.

“Mereka juga memperjuangkan pemansuhan Akta tersebut yang dianggap zalim. Namun kini, setelah menjadi kerajaan, mereka menyalahgunakan Akta Hasutan 1948 yang mereka sendiri kata sebagai zalim untuk menekan lawan politik,” katanya pada kenyataan. – HARAKAHDAILY 27/8/2024

Ulasan