Hakim tolak permohonan pendakwa jaminan RM20,000
August 27, 2024
GUA MUSANG: Cadangan pihak pendakwaan supaya jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ditolak Hakim Mahkamah Sesyen Gua Musang, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Peguam tertuduh Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah yang dipohon pihak pendakwaan adalah keterlaluan berdasar kes terdahulu.
Katanya, asasnya Seksyen 4(1) Akta Hasutan jika tertuduh disabitkan kesalahan hanya dikenakan tidak lebih RM5,000 atau 3 tahun penjara.
“Sedangkan jumlah itu empat kali ganda daripada jumlah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes tersebut hari ini. (Foto atas)
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar.
Manakala Muhyiddin turut diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menolak perintah larangan bersuara yang dipohon pendakwaan.
Hakim turut menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan hasutan berdasar ucapannya sempena ceramah umum ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri di Felda Perasu pada 14 Ogos lepas.
Takiyuddin juga berkata, kes tersebut diklasifikasi sebagai kes jenayah dan membolehkan mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Menurutnya juga mahkamah menolak hujah pendakwaan kerana ia dibuat berasaskan andaian.
“Kesimpulan mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan keduanya
mahkamah menolak perintah larangan daripada mengucapkan perkara yang sama.
“Jadi permohonan pendakwaraya itu dibantah peguam tertuduh kerana hujah pendakwaraya berdasar kepada andaian,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan