Hari-hari ‘bergaduh’ dengan scammer





Hari-hari ‘bergaduh’ dengan scammer
Oleh Teon Eg
30 Ogos 2024, 7:00 am

SEDAR atau tidak, ramai kalangan kita kini hampir setiap hari menerima panggilan scammer.

Malah lebih rancak scammer ketika ini sudah bekerja syif pagi iaitu seawal 8 pagi apabila kita semakin biasa menerima panggilan penipu-penipu ini.

Jika tidak ada kerja atau mahu melepas geram, menerima panggilan scammer untuk sesetengah orang adalah terapi melepaskan geram ketika itu.

Maklumlah dengan scammer semua ayat dan perkataan yang mahu dihambur tidak perlu tapis, ikut sedap mulut sahajalah.

Lazimnya dalam situasi sebegini scammer cepat mematikan talian sekali gus individu yang ‘kurang stabil’ ketika itu boleh rasa terhibur kerana berasa diri ‘menang berlawan dengan penjahat’.

Namun, terapi ini hanya untuk individu yang benar-benar mengenali scammer.

Jangan pula disebabkan kegemaran melayan panggilan telefon yang tidak diketahui asal-usul anda ‘tewas’ kepada scammer.

Pada 1 Januari hingga 7 Julai lalu, polis merekodkan jumlah kerugian akibat jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian mencecah RM1.2 bilion.

Secara purata peni puan sehari diterima polis tahun ini 65 kes. Polis juga mengakui jumlah penipuan dalam talian men ingkat setiap tahun seiring dengan perkembangan teknologi.

Perkembangan AI (kecerdasan buatan) dilihat terus-menerus dimanfaatkan penjenayah dan dijangka penipuan siber akan terus kompleks.

Kes-kes mangsa tertipu pula melibatkan semua peringkat termasuk peguam, polis, doktor dan cikgu.

Jika ikut polis punca semakin ramai tertipu adalah kerana rakyat negara ini mudah ‘cair’, mudah percaya dan terlalu tamak untuk jadi kaya.

Namun, ada kalangan pemerhati trend jenayah siber pula menganggap, agensi penguat kuasa tidak secanggih penjenayah siber sehingga mereka gagal membanteras pembiakannya.

Agensi-agensi penguat kuasa berkaitan jenayah siber dilihat hanya mampu merekod kes mangsa-mangsa ditipu dan menganalisis modus operandi ke modus operandi lain.

Sebaliknya, setiap hari, setiap jam penjenayah siber di ibarat terus ‘bermutasi’.

Justeru, ramai curiga dengan kekuatan agensi mengawal selia jenayah siber, adakah mereka berkeupayaan untuk menyekat jenayah yang berkembang mengikut teknologi?

Hendak lagi jika kumpulan tersebut membabitkan anggota, pegawai dan ketua-ketua agensi yang lahir sebelum 1980-an.

Adakah jari-jemari dan saraf otak mereka yang ‘terlalu matang’ masih boleh diselarikan dengan zaman AI? Sekadar was-was tidak semestinya benar.

Lebih-lebih lagi semua agensi kerajaan, untuk berubah menjadi canggih bagi mengejar teknologi, terlalu banyak kekangan terutama membabitkan kos dan dasar sana sini.

Teringat pula sudahkah semua jabatan kerajaan dilengkapi WiFi?

Jadi, usahkan untuk bertanya mengenai keupayaan agensi penguat kuasa menghapuskan penjenayah siber namun lihat sahaja bagaimana scammer pantas memperoleh nomber telefon pengguna.

Kebocoran data bagaikan menjadi-jadi apabila setiap rakyat yang mempunyai telefon bimbit berpeluang dihubungi scammer.

Maka jika isu pembocoran atau menjual data pun tidak terurus, bagaimana mungkin untuk melumpuhkan penjenayah siber? Pengumuman kerajaan mahu melesen pengguna media sosial tahun depan kononnya untuk mencegah jenayah siber, adakah polisi itu membantu?

Sama-samalah kita tunggu. – UTUSAN

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan