Isyarat PN bakal raih kemenangan PRK DUN Mahkota


Isyarat PN bakal raih kemenangan PRK DUN Mahkota
August 30, 2024

KLUANG: Komitmen dan semangat yang tinggi ditunjukkan oleh jentera Perikatan Nasional dan sokongan oleh rakyat bakal memacu kemenangan parti itu dalam PRK DUN Mahkota bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Pusat, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, itu adalah perkara yang beliau lihat setelah tiba di situ di mana mengubah pandangan awalnya terhadap keputusan mungkin diperolehi parti itu sebelum ini.

“Sebelum saya bertolak ke DUN Mahkota, pandangan saya ada sedikit berbeza kerana banyak berpendapat data dan statistik di DUN Mahkota mungkin ada sedikit kesukaran.

“Tetapi apabila saya menjejakkan kaki di bumi DUN Mahkota pagi tadi, pandangan ini bertukar menjadi keyakinan saya insya-Allah kita akan menang di DUN Mahkota ini!” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara ini sewaktu berucap dalam Majlis Himpunan Jentera Perikatan Nasional di Bilik Gerakan Utama (BGU) parti itu bagi PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu, di sini malam tadi.

Katanya, kehadiran beliau ke situ semenjak awal pagi semalam pada awalnya sekadar untuk meninjau persiapan jentera bagi menghadapi PRK itu dan bukannya untuk mengumumkan calon bagi PRK itu.

“Tetapi saya lihat komitmen dan semangat yang begitu tinggi daripada pimpinan BERSATU, pimpinan PAS, pimpinan GERAKAN dan ahli-ahli parti, termasuk rakyat terbanyak yang menyatakan insya-Allah, ‘enough is enough’!

“Kita mahu melakukan perubahan di DUN Mahkota kerana kita mahu suara rakyat di Mahkota ini diangkat dan digegarkan dalam Dewan Undangan Negeri Johor insya-Allah,” katanya.

Azmin yang juga Pengarah Utama PRK DUN Mahkota berkata, beliau melihat sokongan kepada Perikatan Nasional bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, malah ramai masyarakat Cina dan India turut hadir pada ceramah itu sebagai tanda sokongan mereka.

“Terima kasih kepada semua (kaum Cina dan India) yang menyokong Perikatan Nasional. Jangan takut dengan Perikatan Nasional. Perikatan Nasional ini adalah parti untuk semua.

“Perikatan Nasional bukan sahaja untuk orang Melayu, juga untuk masyarakat Cina, masyarakat India, Bumiputera, Sabah dan Sarawak. Ini adalah parti masa depan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, orang Melayu, Cina dan India di dalam Perikatan Nasional adalah satu keluarga besar yang boleh hidup bersama secara aman dan damai serta saling menghormati.

“Kita mesti bersama-sama, senada dengan satu suara bahawa DUN Mahkota ini adalah milik rakyat dan dalam pilihan raya kecil ini kita mesti memastikan DUN Mahkota akan kembali ke tangan Perikatan Nasional sebagai wakil kita. Sebab itu saya lihat perkembangan ini positif,” katanya.

Turut berucap di dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Shahrudin Jamal.

Turut hadir ialah Pengerusi GERAKAN Johor, Teo Kok Chee dan Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Dato’ Seri Rina Harun serta Pengarah PRK DUN Mahkota, Solehan Badri.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Allahyarhamah memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional dan PH. – HARAKAHDAILY 30/8/2024

share & sebarkan:

Ulasan