Kamala Harris masih tercari-cari calon sesuai Naib Presiden AS



Kamala Harris masih tercari-cari calon sesuai Naib Presiden AS
Oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN
5 Ogos 2024, 8:57 pm

WASHINGTON DC: Calon Demokrat Presiden Amerika (AS), Kamala Harris masih mencari bakal regunya dalam Pilihan Raya Presiden negara itu apabila mahu menemuduga tiga individu yang bakal dikenalpasti untuk terpilih sebagai calon Naib Presiden.

Tiga calon tersebut adalah Gabenor Minnesota, Tim Walz; Senator Arizona Mark Kelly, dan Gabenor Pennsylvania, Josh Shapiro.


Harris dijangka mengumumkan pilihannya menjelang penampilan umum pertamanya bersama calon Naib Presiden di Philadelphia pada masa terdekat melalui media sosial yang dirancang untuk menampilkan calon Presiden dan Naib Presiden AS.

Sebelum ini, Harris telah bertemu dengan pasukan pemeriksanya pada Sabtu lalu termasuk bekas Peguam Negara, Eric Holder yang memiliki firma guamannya sendiri bertanggungjawab untuk meneliti kewangan dan latar belakang bakal pasangan calon, demikian menurut sumber yang memberitahu kepada Reuters.

Harris juga bertemu dengan Setiausaha Pengangkutan, Pete Buttigieg selama 90 minit dan pertemuan itu dilangsungkan secara maya.

Selain itu, Gabenor Kentucky, Andy Beshear dan Gabenor Illinois J.B Pritzker merupakan calon lain yang bertanding untuk jawatan itu.


Pemilihan pasangan calon merupakan salah satu keputusan paling penting dalam karier politik Harris kerana beliau dilihat tergesa-gesa menyusun kempen bagi mencabar Donald Trump dalam pilihan raya 5 November nanti selepas Presiden Joe Biden mengumumkan tidak bertanding pada bulan lalu.

Senarai pendeknya termasuk semua lelaki kulit putih yang mempunyai rekod memenangi pengundi luar bandar, kulit putih dan bebas.

Keputusan Harris bakal mempengaruhi hala tuju masa depan parti Demokrat untuk mengangkat calon yang dipilih ke barisan hadapan pada pemilihan presiden pada masa depan.

Salah seorang calon pilihan, Josh Shapiro menghadapi kritikan tajam dari pihak kiri, terutamanya kumpulan progresif dan aktivis pro-Palestin, berhubung sokongannya terhadap Israel dan pengendaliannya terhadap protes kolej yang membantah serangan Israel ke atas Gaza.

“Mesti ada pembetulan dasar di Gaza dan mesti ada agenda dasar pro-pekerja, termasuk agenda yang memberi manfaat kepada komuniti kaum kulit hitam di US,” Kata Nina Turner, Felo di Institut Kaum, Kuasa dan Politik Ekonomi yang merupakan sebuah kumpulan penyelidikan yang progresif.

Ulasan