KDNK suku kedua 5.9 peratus
ABDUL Rasheed Ghaffour (kanan) dan Mohd. Uzir Mahidin menunjukkan laporan prestasi ekonomi Malaysia bagi suku tahun kedua 2024 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/NURUL NAJWA HASRAN
Oleh HENDRA WINARNO
17 Ogos 2024, 7:50 am
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus pada suku kedua 2024, melepasi unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 5.8 peratus, meningkat 1.7 peratus berbanding suku pertama tahun ini.
Pertumbuhan tertinggi sejak suku keempat 2022 itu menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan tepat dengan dasar-dasar kerajaan mendorong kepada kerancakan ekonomi.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua itu disokong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang positif dan sokongan dasar yang lebih baik.
“Selain itu, faktor yang menyumbang pertumbuhan adalah dalam peningkatan eksport barangan dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi serta pengembangan kukuh dalam aktiviti pelaburan.
“Bagaimanapun, pertumbuhan pengeluaran perlombongan yang lebih rendah susulan gangguan di lapangan minyak dan gas memberikan bebanan kepada pertumbuhan itu,” katanya dalam sidang media KDNK suku kedua 2024 di sini, semalam.
Beliau berkata, aktiviti pelaburan disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.
“Eksport bertambah baik berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi dan limpahan peningkatan kitaran teknologi global yang positif. Kebanyakan sektor penawaran mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi.
“Sektor perkilangan disokong oleh peningkatan yang menyeluruh merentas semua kelompok, khususnya kelompok elektrik dan elektronik (E&E).
“Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh, didorong oleh subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan.
“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.9 peratus (S1 2024: 1.4 peratus),” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pertumbuhan separuh kedua pula, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan itu akan didorong oleh perbelanjaan dalam negeri dengan sokongan permintaan luaran yang terus kukuh.
“Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar. Aktiviti pelaburan akan didorong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam.
“Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan-pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan juga merupakan pendorong utama untuk aktiviti pelaburan.
“Dari segi luaran, peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan dan permintaan yang terus kukuh dalam barangan bukan elektrik dan elektronik dijangka meningkatkan eksport,” katanya.
Menurut beliau, ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan